GAYA HIDUP

Tidak Mengalah Dengan Halangan, Wanita Johor Cipta Nama Sebagai Jurutera Pesawat

15/06/2026 12:34 PM

Oleh Mohd Afiq Zulkifli

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Impian untuk bergelar jurutera penyelenggaraan pesawat tidak pernah pudar dalam diri Syaza Raehah Mohamad Haris meskipun laluan yang diharapkannya di tanah air sendiri tidak menjadi kenyataan.

Apa yang pada awalnya dianggap sebagai satu kegagalan akhirnya menjadi titik perubahan yang membuka jalan lebih luas buat wanita berusia 38 tahun itu sehingga berjaya menempa nama sebagai jurutera penyelenggaraan pesawat berlesen di peringkat antarabangsa.

Kini berkhidmat di sebuah syarikat penerbangan swasta di Singapura selepas lebih sedekad membina pengalaman dalam industri penerbangan termasuk di Amerika Syarikat, Syaza Raehah mengakui setiap pencapaian yang diraih hari ini hadir bersama pengorbanan, keberanian dan ketabahan yang tidak sedikit.

pic-2

Perjalanan kerjayanya bermula sebaik menamatkan pengajian dalam bidang kejuruteraan pesawat di sebuah institusi pengajian tinggi tempatan apabila beliau menyertai sebuah syarikat penyelenggaraan pesawat di Senai, Johor sebagai mekanik penyelenggaraan pesawat pada 2015.

Namun selepas lima tahun menimba pengalaman dalam bidang yang diminatinya sejak kecil, Syaza Raehah dikejutkan dengan hakikat bahawa pengalaman kerja yang dikumpulnya tidak memenuhi syarat untuk mendapatkan lesen jurutera penyelenggaraan pesawat di Malaysia.

“Saya memiliki ijazah dalam bidang kejuruteraan pesawat di sebuah institusi pengajian di Malaysia. Sebaik tamat belajar, saya mula ceburi bidang yang diminati ini dengan bekerja terlebih dahulu sebagai mekanik penyelenggaraan pesawat di Senai, Johor pada 2015. 

“Selepas lima tahun bekerja, saya menyedari pengalaman itu tidak boleh digunakan untuk mendapatkan lesen jurutera penyelenggaran pesawat berlesen di Malaysia. Ini kerana  saya bekerja dengan jurutera bukan Malaysia dan pesawat berdaftar luar negara,” katanya kepada Bernama. 

pic-3

Menurut anak kelahiran Bandar Penawar, Johor itu, syarat yang ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengkehendaki pengalaman bagi tujuan pelesenan diperoleh melalui penyelenggaraan pesawat yang berdaftar di Malaysia.

Walaupun kecewa apabila mengetahui perkara itu selepas bertahun-tahun membina pengalaman dalam industri, beliau enggan membiarkan halangan tersebut mematahkan semangat untuk mengejar cita-cita yang diimpikan sejak kecil.

Sebaliknya, Syaza Raehah memilih untuk mencari laluan alternatif yang dapat mengiktiraf kemahiran serta pengalaman yang dimilikinya dengan mengambil keputusan berani ke Amerika Syarikat bagi mendapatkan pensijilan Airframe and Powerplant (A&P) yang dikeluarkan oleh Federal Aviation Administration (FAA).

pic-4

Menurut anak ketiga daripada enam beradik itu, keputusan tersebut menuntut pengorbanan besar kerana memerlukannya menduduki peperiksaan berkenaan di negara itu selain menanggung kos kelas persediaan, penerbangan, penginapan dan perbelanjaan sepanjang berada di sana.

“Sebenarnya, lesen itu tidaklah terlalu mahal. Yang mahal ialah kelas persediaan, tiket kapal terbang, hotel dan kos tinggal di sana. Masa itu, saya meminjam kira-kira RM30,000 daripada bapa untuk tujuan itu,” katanya.

Pengorbanan itu akhirnya membuahkan hasil apabila beliau berjaya memperoleh lesen FAA A&P pada penghujung 2018, sekali gus membuka peluang kerjaya yang lebih luas dalam industri penerbangan antarabangsa.

Tidak terhenti di situ, Syaza Raehah meneruskan usaha memperkukuh kelayakan profesionalnya dengan melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang aeronautik di Embry-Riddle Aeronautical University, Amerika Syarikat pada 2020.

pic-5

Menurutnya, keputusan menyambung pengajian dibuat bagi meningkatkan pengetahuan teknikal dan memperluaskan peluang kerjaya dalam industri yang sentiasa berkembang.

Usaha berterusan itu membuka lembaran baharu apabila beliau diterima bekerja pada 2023 sebagai mekanik penyelenggaraan barisan hadapan di Colorado bagi sebuah syarikat penerbangan serantau yang beroperasi di bawah United Airlines.

Bagaimanapun, cabaran bekerja di Amerika Syarikat bukan sekadar melibatkan aspek teknikal, malah turut menuntut ketahanan fizikal dan mental.

“Di Colorado, saya pernah bekerja dalam suhu serendah -27 darjah Celsius. Keadaan cuaca sejuk ekstrem dan kedudukan negeri itu pada paras kira-kira 1,500 meter dari aras laut memberi cabaran berbeza berbanding bekerja di Malaysia,” katanya.

pic-6

Kecekalan dan pengalaman yang dimilikinya terus mendapat pengiktirafan apabila pada 2024 beliau ditawarkan menyertai jabatan kejuruteraan sebuah syarikat di Texas sebagai sebahagian daripada perkembangan kerjayanya.

Namun, impian untuk terus membina kerjaya di Amerika Syarikat tidak kesampaian apabila permohonan visa kerjanya tidak berjaya dan memaksa beliau  pulang ke tanah air tahun lepas sebelum diterima bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat penerbangan swasta di republik itu.

Menurutnya,  lesen FAA A&P yang dimilikinya membuka peluang kerjaya lebih luas memandangkan banyak pesawat persendirian di dunia didaftarkan di Amerika Syarikat, sekali gus membolehkan pemegang lesen berkenaan berkhidmat dengan pesawat berpendaftaran negara itu di pelbagai negara termasuk Singapura.

“Sekarang, saya mengendalikan pesawat persendirian dan pesawat ambulans udara termasuk model Gulfstream G100, Gulfstream G200 dan Phenom 300. Antara tugasan, servis rutin, pembaikan dan baik pulih bagi memastikan keselamatan, kelayakan untuk terbang serta kebolehpercayaan pesawat,” katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2568632