KANGAR, 11 Jun (Bernama) -- Transformasi pendidikan digital negara diperkukuh menerusi inisiatif bilik darjah dikuasai kecerdasan buatan atau AI-Powered Classroom di bawah program Pre-Google Reference Institution (PGRI), dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Perlis dekat sini menjadi sekolah pertama di negara ini terpilih untuk pelaksanaan inisiatif itu.
Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan (KPM) Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata inisiatif itu, dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Google Malaysia.
“Perlis menjadi negeri pertama di Malaysia melaksanakan inisiatif tersebut dengan melibatkan SMK Kuala Perlis, sekali gus membuka laluan kepada peluasan model pembelajaran berteraskan AI ke sekolah-sekolah lain di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran AI-Powered Classroom di SMK Kuala Perlis hari ini, yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Megat Sany berkata kejayaan pelaksanaan di Perlis, akan menjadi penanda aras kepada peluasan program itu ke sekolah lain secara berperingkat, dengan 27 sekolah lagi dikenal pasti untuk fasa seterusnya sebelum diperluas kepada 800 sekolah dalam tempoh tujuh tahun.
Beliau berkata pemilihan sekolah untuk menyertai program berkenaan perlu melalui proses penilaian dan memenuhi kriteria yang ditetapkan pihak Google.
-- BERNAMA