AM

Projek Jalan Teku/Pasai Siong-Kemuyang, SMK Selangau Dahului Jadual - Uggah

26/06/2026 06:02 PM

SIBU, 26 Jun (Bernama) -- Projek pembinaan Jalan Teku/Jalan Pasai Siong ke Kemuyang Pakej I sepanjang 6.17 km di sini kini mencapai kemajuan fizikal 25.5 peratus, iaitu 2.82 peratus mendahului jadual, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata projek bernilai RM76 juta itu dilaksanakan mengikut perancangan dengan kemajuan semasa melebihi sasaran jadual sebanyak 22.7 peratus.

"Kami amat berpuas hati dengan kemajuan kerja setakat ini dan yakin kontraktor mampu menyiapkan projek mengikut jadual, walaupun faktor cuaca mungkin menjadi cabaran pada peringkat seterusnya," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan tapak projek hari ini.

Uggah berkata antara komponen utama projek ialah pembinaan jalan bertingkat sepanjang 704 meter merentasi kawasan tanah gambut.

Pembinaan jalan baharu itu, katanya akan membuka kawasan pembangunan baharu yang berpotensi tinggi memandangkan lokasinya berhampiran bandar Sibu, selain meningkatkan jaringan perhubungan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata jalan berkenaan menyediakan laluan kedua ke bandar Sibu dari kawasan berkenaan.

Terdahulu, Uggah meninjau projek pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selangau bernilai RM81 juta di Selangau.

Menurutnya projek yang dijadualkan siap pada Jun 2027, kini mencapai kemajuan fizikal 64.2 peratus, sekali gus mendahului jadual pelaksanaan.

Berpuas hati dengan kemajuan itu, Uggah optimis ia dapat disiapkan lebih awal, iaitu menjelang penghujung tahun ini.

Beliau berkata kemudahan yang dibina merangkumi blok akademik dan pentadbiran, dua blok asrama pelajar lelaki dan perempuan, dewan makan, 18 bilik darjah, 20 bilik guru, kuarters guru serta kemudahan sokongan lain yang mampu menampung kira-kira 400 pelajar.

Projek itu dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, dengan pembinaan bermula pada 15 Julai 2024 dan tarikh siap asal pada 14 Jun 2027.

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2573380