PASIR GUDANG, 26 Jun (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memastikan liputan Internet berada pada tahap optimum, khususnya di lokasi tumpuan sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata ketersediaan capaian Internet yang stabil amat penting bagi memudahkan penganjuran ceramah dan proses penyaluran maklumat kepada pengundi sepanjang tempoh kempen berlangsung.
“Saya telah meminta MCMC menjalankan pemantauan berkala, terutama di kawasan yang dijangka menerima kehadiran penyokong yang tinggi. Internet yang baik ini adalah elemen penting dalam memastikan kempen berjalan lancar dan berkesan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Pakatan Harapan N40 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram di Taman Kota Masai di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan, Ahli Parlimen Tebrau Jimmy Puah Wee Tse dan calon Pakatan Harapan DUN Tiram Nor Zulaila Abdul Ghani.
Dalam pada itu, Teo yang juga Pengerusi DAP Johor memaklumkan setakat ini parti itu menerima maklum balas yang amat positif dan menggalakkan daripada pengundi di negeri berkenaan.
Beliau berkata siri turun padang yang dijalankan menunjukkan kecenderungan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing adalah sangat tinggi, termasuk dalam kalangan pengundi luar.
Menurut Teo, perkembangan itu turut menggambarkan kesediaan pengundi luar untuk kembali ke kawasan masing-masing bagi menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian.
Teo ketika mengulas mengenai strategi parti berkata DAP akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada kesemua 17 kerusi yang ditandingi tanpa mengklasifikasikan mana-mana kawasan sebagai “kerusi selamat”.
“Kami tidak boleh cakap ini (mana-mana) adalah satu kerusi yang selamat (kerana ia boleh menimbulkan) satu sikap bahawa kami tak perlu bagi fokus di sana.
“Pendekatan kami adalah untuk memastikan setiap kerusi diberi perhatian sewajarnya, selain mengambil kira cabaran berbeza di setiap kawasan,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon bagi PRN Johor manakala hari pengundian pada 11 Julai, selepas DUN yang mempunyai 52 kerusi dibubarkan pada 1 Jun lepas.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA