AM

UKM Kekal Dalam Kelompok 150 Universiti Terbaik Dunia

18/06/2026 09:44 PM

BANGI, 18 Jun (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus mengekalkan kedudukannya dalam kelompok 150 universiti terbaik dunia apabila berada di tangga ke-130 dalam penarafan QS World University Rankings 2027.

Dalam kenyataan hari ini, UKM memaklumkan walaupun terdapat sedikit penurunan berbanding tahun sebelumnya, namun universiti itu masih berada dalam kelompok 10 peratus universiti terbaik daripada 1,504 institusi yang disenaraikan.

UKM juga berada dalam kelompok dua peratus teratas daripada 8,808 institusi yang dinilai di seluruh dunia. 

“Dalam penarafan terbaharu, UKM mencatat peningkatan 81 anak tangga bagi indikator Sitasi per Fakulti, di samping merekodkan kenaikan 38 anak tangga dalam Jaringan Penyelidikan Antarabangsa, 35 anak tangga dalam Kelestarian dan 16 anak tangga dalam indikator Pelajar Antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Sufian Jusoh berkata kedudukan dunia berkenaan perlu dilihat dalam konteks persaingan antarabangsa yang semakin sengit, selain menjadi penanda aras penting untuk menilai prestasi dan mengenal pasti ruang penambahbaikan. 

“Pada masa yang sama, kekuatan universiti perlu dilihat dari segi kualiti pendidikan, impak penyelidikan dan sumbangannya kepada masyarakat.

“Kami akan terus memberikan tumpuan kepada semua aspek ini dalam usaha meningkatkan prestasi universiti secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan itu. 

Sufian berkata pencapaian itu adalah hasil usaha, dedikasi dan komitmen seluruh warga UKM yang sentiasa berusaha mencapai kecemerlangan dalam pengajaran, penyelidikan, inovasi dan perkhidmatan. 

"Terima kasih kepada semua warga UKM atas sumbangan yang telah mengangkat nama universiti ke persada antarabangsa. Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus mencapai prestasi yang lebih cemerlang pada masa hadapan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2570154