AM

STPM Kekal Relevan, Laluan Kompetitif Ke Menara Gading

18/06/2026 05:19 PM

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) kekal relevan sebagai laluan pendidikan yang kompetitif dan inklusif, dengan pelajar daripada pelbagai latar belakang membuktikan keupayaan mereka mencapai kecemerlangan akademik bagi melanjutkan pengajian ke universiti.

Seorang pelajar Orang Asli dari Kampung Paya Mendoi, Kuala Krau, Pahang, Hazaril Hakimi Hassan yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam STPM 2025 berkata kejayaannya hadir selepas mula memahami kelebihan laluan tingkatan enam yang sebelum ini kurang diberi perhatian.

“Apabila saya mengetahui kelebihan tingkatan enam dan mendapat sokongan daripada guru serta keluarga, saya lebih yakin memilih laluan ini,” katanya selepas menerima anugerah kecemerlangan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) di Bangunan MPM, di sini hari ini. 

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh itu berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM) dan bercita-cita menjadi pensyarah.

Bekas pelajar SMK Tsung Wah, Kuala Kangsar, Perak, Ng Yu Yong yang turut memperoleh PNGK 4.00 pula menyifatkan STPM sebagai laluan yang mampu meningkatkan daya saing akademik, selain diiktiraf di peringkat antarabangsa dan membuka peluang melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka luar negara.

“Tingkatan enam merupakan pilihan yang lebih baik jika anda mempunyai masalah kewangan. Kosnya jauh lebih rendah, jika anda benar-benar menyasarkan kecemerlangan, anda seharusnya memilih tingkatan enam kerana ia lebih kompetitif. Saya menggalakkan pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam. Ia akan membantu meningkatkan potensi diri serta keupayaan anda,” katanya.

Pelajar yang mendapat 5A termasuk dalam mata pelajaran Fizik dan Biologi itu berkata beliau menetapkan sasaran kecemerlangan sejak memasuki tingkatan enam kerana melihat STPM sebagai platform terbaik untuk mencapai impian dalam bidang perubatan.

Beliau menyasarkan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) di Universiti Malaya.

Sementara itu, seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan Yeoh Chwen Yih yang turut mendapat PNGK 4.00 berkata STPM menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif dengan sokongan teknologi pembacaan skrin yang memudahkan proses pembelajaran harian.

Beliau yang bersekolah di St John’s Institution, di sini berkata penggunaan perisian tersebut membolehkan bahan pembelajaran diakses dengan lebih cepat berbanding kaedah Braille, sekali gus meningkatkan keberkesanan pembelajaran.

“Untuk pelajar OKU penglihatan, pilihan yang ada agak terhad dan saya mendapati tingkatan enam menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih inklusif,” katanya.

Yeoh yang bercita-cita melanjutkan pengajian dalam bidang undang-undang melihat STPM sebagai laluan yang sesuai untuk mencapai impian tersebut.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2570010