EKONOMI

Winner Sky Tech Buka Fasiliti Di Batu Kawan, Pelaburan Komited Berjumlah RM70 Juta

18/06/2026 10:25 PM

BATU KAWAN, 18 Jun (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) Winner Sky Technology Sdn Bhd telah membuka kemudahan pembuatan baharu seluas 60,000 kaki persegi di Batu Kawan, menandakan satu peristiwa penting dalam trajektori pertumbuhan syarikat dan memperkukuh komitmen jangka panjangnya kepada Malaysia sebagai pangkalan untuk pembuatan elektronik bernilai tinggi.

Dalam satu kenyataan bersama, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Penang dan Winner Sky Technology memaklumkan bahawa kemudahan itu dibuka secara rasmi pada 6 Jun lepas, meningkatkan jejak pengeluaran syarikat dan menampung jumlah komitmen pelaburan sebanyak RM70 juta dalam tempoh lima tahun.

Syarikat itu kini mempunyai kira-kira 150 orang pekerja dan merancang untuk mengembangkan tenaga kerjanya kepada lebih daripada 450 orang dalam tempoh yang sama, menurut kenyataan itu.

Fasiliti telah dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Turut hadir Pengarah MIDA Pulau Pinang Muhammad Ghaddaffi Sardar Mohamed, Pengerusi Alltronics Holdings Ltd Lam Yin Kee dan Ketua Pegawai Eksekutif Winner Sky Technology Malaysia Eric Lam Chee Tai.

Ditubuhkan pada 2019, Winner Sky Technology telah berkembang daripada operasi secara kecil-kecilan kepada penyedia EMS dipercayai, menawarkan perkhidmatan kepada pelanggan dalam elektronik perindustrian, sistem kawalan tenaga dan Internet Pelbaga Perkara (IoT).

Beribu pejabat di Hong Kong dengan operasi pembuatan di seluruh China, Vietnam dan Malaysia, pengembangannya di Pulau Pinang mencerminkan keyakinan terhadap kumpulan bakat dan ekosistem perindustrian di Malaysia, menurut syarikat itu.

Menurut kenyataan itu, kemudahan baharu tersebut dilengkapi dengan barisan pengeluaran Teknologi Pemasangan Permukaan (SMT) terkini, sistem Kilang Pintar bersepadu dan keupayaan Industri 4.0, meningkatkan kapasiti pengeluaran dan membolehkan syarikat itu menyediakan penyelesaian pembuatan elektronik inovatif kepada pelanggan di seluruh dunia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata keputusan Winner Sky Technology untuk menerajui pengembangan besar di Malaysia merupakan sokongan kukuh terhadap tenaga kerja mahir negara, ekosistem perindustrian yang kompetitif dan komitmen kukuh kerajaan untuk memudahkan pelaburan yang berkualiti.

Beliau berkata pelaburan itu adalah jenis pelaburan asing bernilai tinggi dan berintensifkan teknologi yang direka bentuk untuk menarik dan mengekalkan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030.

“Selain pelaburan modal, apa yang menonjol di sini ialah komitmen tulen terhadap pembangunan tenaga kerja tempatan, integrasi rantaian bekalan dan pemindahan teknologi, ia adalah pertumbuhan perindustrian yang mampan.

“MIDA akan terus bekerjasama rapat dengan pelabur seperti Winner Sky Technology bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pilihan untuk pembuatan termaju,” katanya.

Dalam pada itu, syarikat itu menjangkakan kemudahan baharu itu akan memacu pertumbuhan perniagaan yang besar menerusi peningkatan kapasiti pengeluaran, peningkatan kecekapan operasi dan perkhidmatan pembuatan bernilai lebih tinggi dengan pendapatan diunjurkan meningkat kira-kira tiga kali ganda dalam beberapa tahun akan datang.

– BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2570195