DUNIA

UM Naik Ke Tangga Ke-56, Kedudukan Terbaik Dalam QS World University Rankings

18/06/2026 07:15 AM

Oleh Zarul Effendi Razali

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) mencapai kedudukan tertinggi dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) apabila meningkat dua anak tangga daripada kedudukan ke-58 kepada ke-56 dunia.

Pencapaian itu mengukuhkan kedudukan UM sebagai universiti terbaik di Malaysia serta meletakkannya dalam kelompok 3.7 peratus universiti terbaik dunia.

Dalam kalangan institusi Malaysia, UM menduduki tempat pertama bagi indikator Reputasi Akademik, Reputasi Majikan, Keberhasilan Kebolehpasaran dan Kelestarian. Di peringkat global, universiti itu masing-masing berada di tangga ke-56, ke-61, ke-184 dan ke-166 bagi keempat-empat indikator berkenaan.

Selain itu, universiti berkenaan turut mencapai kedudukan global yang kukuh dalam Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa (ke-125) dan Pelajar Antarabangsa (ke-153).

Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman menyifatkan pencapaian terbaik universiti itu dalam QS WUR sebagai detik bersejarah yang membanggakan institusi dan signifikan kepada negara.

"Ia adalah hasil sebuah universiti yang memilih disiplin berbanding sikap berpuas hati, pelaksanaan berbanding retorik serta tekad bersama berbanding kebiasaan konvensional semata-mata," katanya.

Beliau berkata kejayaan itu mencerminkan kekuatan sebuah institusi yang berpaksikan misi dan nilai, didukung oleh kerja keras dan komitmen ahli akademik, penyelidik, pelajar, kakitangan serta pasukan kepimpinannya.

"Ia membuktikan bahawa apabila visi strategik disertai kejelasan, kesepaduan, keberanian dan tindakan yang berterusan, Universiti Malaya bukan sekadar mengambil bahagian dalam landskap pendidikan tinggi global, malah turut mencorakkannya," katanya.

Memberikan penghargaan kepada seluruh warga UM, Noor Azuan berkata pencapaian itu adalah hasil daripada perancangan yang jelas, penjajaran institusi, kerja berpasukan serta tumpuan yang konsisten terhadap sektor kritikal yang membentuk masa depan.

"Ia terpahat dalam kualiti penyelidikan dan bidang tumpuan baharu kami, aspirasi pelajar kami, dedikasi warga akademik kami, profesionalisme kakitangan kami serta usaha tanpa henti setiap fakulti, pusat, jabatan dan pasukan yang telah membawa nama UM dengan penuh kebanggaan dan kecemerlangan.

Menurut Noor Azuan, UM didorong oleh usaha berterusan dalam penyelidikan termaju, transformasi digital, kelestarian, kecemerlangan bakat, inovasi, kerelevanan industri serta perkongsian global.

Beliau berkata ketika dunia semakin dicorakkan oleh ketidaktentuan, gangguan dan persaingan yang sengit, institusi perlu menjadi lebih tangkas, berdaya tahan dan berani dalam melaksanakan pembaharuan.

Noor Azuan berkata ranking penting kerana ia mencerminkan kualiti, kepercayaan dan impak, dan universiti itu akan terus berusaha mencapai kedudukan yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa misi UM yang lebih luas adalah untuk menerajui negara, mengangkat martabat manusia dan membantu mencorakkan masa depan dunia.

"Kami akan terus menerajui tanggungjawab nasional dalam membentuk pertumbuhan Malaysia, memperkukuh daya tahan negara serta menghasilkan ilmu, bakat dan penyelesaian yang diperlukan oleh manusia dan dunia," katanya.

Skor keseluruhan UM bagi edisi 2027 ialah 81.2 merangkumi dimensi prestasi utama QS iaitu Penyelidikan dan Penemuan, Kebolehpasaran dan Keberhasilan, Kelestarian, Pengalaman Pembelajaran serta Penglibatan Global.

Universiti itu mencatat skor 92.8 bagi Reputasi Akademik dan 93.1 bagi Reputasi Majikan sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan akademiknya serta graduan yang mempunyai kebolehpasaran tinggi dan bersedia untuk industri.

Sementara itu, skor 93.4 bagi Rangkaian Penyelidikan Antarabangsa, 93.1 bagi Pelajar Antarabangsa dan 83.7 bagi Fakulti Antarabangsa mencerminkan profil antarabangsanya yang semakin kukuh serta kerjasama global yang meluas.

QS World University Rankings 2027 menilai 8,808 institusi di seluruh dunia, termasuk 32 dari Malaysia. Hanya 1,504 institusi disenaraikan dalam ranking akhir merentasi 106 lokasi.

Universiti Malaya menyambut ulang tahun ke-121 pada 2026. Sepanjang sejarahnya yang membanggakan, universiti itu telah melahirkan ramai pemimpin dan cendekiawan yang memberi impak di peringkat nasional dan global.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569725