SUKAN

Brunei Sahkan Penyertaan Dalam SUKMA 2026

18/06/2026 08:49 PM

SHAH ALAM, 18 Jun (Bernama) -- Brunei secara rasmi mengesahkan penyertaan dalam Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang dijadualkan dari 15 hingga 24 Ogos ini.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata pengesahan itu dibuat ketika kunjungan hormat beliau ke atas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei Pengiran Dato Seri Setia Shamhary Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha di Bandar Seri Begawan hari ini. 

“Brunei bersetuju menghantar sejumlah atlet mereka ke SUKMA Selangor nanti, sebagai simbol hubungan persahabatan yang terjalin erat dan menyokong usaha dalam pembangunan atlet muda di kedua-dua buah negara secara amnya.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Pengiran Dato Seri Setia Shamhary kerana menyokong kita, sekali gus melengkapkan penyertaan 15 kontinjen pada SUKMA Selangor kali ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Turut serta dalam kunjungan hormat itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Sekretariat SUKMA ke-22 dan Para SUKMA Selangor Datuk Mohd Yazid Sairi dan Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Mohamad Nizam Marjugi.

Mohd Najwan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA ke-22 dan Para SUKMA 2026 berkata penyertaan Brunei sebagai kontinjen jemputan diyakini dapat meningkatkan mutu pertandingan serta memperkukuh hubungan persahabatan dan kerjasama serantau selain menyemarakkan semangat muhibah yang telah lama terjalin. 

SUKMA Selangor 2026 akan mempertandingkan 469 acara menerusi 37 jenis sukan di 52 venue pertandingan di sembilan daerah seluruh Selangor serta Velodrom Nasional di Negeri Sembilan diikuti Para SUKMA dengan hampir 300 acara membabitkan 10 jenis sukan bermula 5 hingga 10 September.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2570149