DUNIA

China Ikrar Perluas Keterbukaan Sektor Kewangan

18/06/2026 02:22 PM

SHANGHAI, 18 Jun (Bernama-CMG) -- China komited untuk terus memperluas keterbukaan secara keinstitusian dalam sektor kewangannya.

Perkara itu dinyatakan Naib Perdana Menteri He Lifeng ketika berucap pada majlis perasmian Forum Lujiazui 2026 di Shanghai pada Rabu.

He berkata institusi kewangan dari seluruh dunia dialu-alukan untuk memperluas kehadiran mereka di pasaran China dan memanfaatkan peluang yang dijana oleh pembangunan negara itu.

Beliau turut menyatakan kesediaan China untuk memperkukuh kerjasama dengan semua pihak dalam tadbir urus kewangan global, di samping bersinergi menangani pelbagai risiko dan cabaran.

Menurut He, Shanghai menghimpunkan sumber kewangan global dan kelebihannya sebagai hab kewangan antarabangsa semakin terserlah.

Beliau berkata sokongan padu akan diberikan kepada Shanghai untuk menerajui pembangunan kewangan luar pesisir, selain mempercepat pembinaan pusat pengagihan serta pengurusan risiko global bagi aset mata wang renminbi.

Antara aspek lain yang turut diberi penekanan ialah memudahkan lagi aktiviti perdagangan dan pelaburan rentas sempadan selain menambah baik sistem produk kewangan meliputi kredit, insurans dan bon, termasuk insurans perkapalan.

He berkata usaha berkenaan akan membantu metropolis itu mencapai kemajuan baharu dalam memperkukuh kedudukannya sebagai pusat kewangan antarabangsa.

-- BERNAMA-CMG

KEYWORDS
       
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569868