JENAYAH & MAHKAMAH

TUDM Sasar Sembilan UAS ANKA, Perkasa Pemantauan Maritim

18/06/2026 02:25 PM

SUBANG, 18 Jun (Bernama) -- Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sedang memperkukuh keupayaan perisikan, pengawasan dan peninjauan (ISR) secara berfasa bagi meningkatkan pemantauan ruang maritim negara, khususnya di Laut China Selatan.

Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Muhamad Norazlan Aris berkata langkah itu melibatkan perancangan perolehan fasa kedua Pesawat Tanpa Pemandu Altitud Sederhana Ketahanan Lama (MALE-UAS) ANKA sebanyak tiga unit. 

Beliau berkata pihak kementerian telah bersetuju secara prinsip dan kini hanya menunggu peruntukan bagi fasa tersebut yang turut melibatkan keupayaan peperangan elektronik (EW) dan ISR.

“(Dengan) tiga unit sedia ada dan tambahan tiga lagi (fasa kedua), sasaran jangka panjang kita adalah untuk memiliki sembilan pesawat berkenaan (UAS ANKA),” katanya kepada pemberita pada Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-68 di sini hari ini.

Selain itu, Muhamad Norazlan berkata TUDM dijadualkan menerima pesawat rondaan maritim (MPA) P-72M dari Itali pada April tahun depan bagi memperkasakan lagi operasi pengawasan.

Beliau berkata pesawat MPA mempunyai keupayaan yang lebih tinggi berbanding tiga pesawat pengawasan maritim (MSA) CN-235 sedia ada, khususnya dari aspek jarak operasi, kelengkapan sistem dan keberkesanan pemantauan.

“Keberkesanan pemantauannya (MPA dari Itali) lebih baik dan secara berfasa ia akan meningkatkan keupayaan TUDM dalam melaksanakan penugasan ISR,” katanya.

Beliau berkata tanggungjawab menjaga kedaulatan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan tidak digalas oleh TUDM bersendirian, sebaliknya disokong menerusi operasi bersama agensi keselamatan lain.

Dalam pada itu, Muhamad Norazlan berkata TUDM kini berada pada peringkat semakan akhir bagi perolehan sistem Pertahanan Udara Jarak Sederhana (MERAD) untuk melengkapkan lapisan pertahanan udara negara.

“Perolehan sistem MERAD amat kritikal bagi melengkapkan ‘payung’ pertahanan udara negara. Ia bertindak sebagai lapisan perisai pelindung yang menutup ruang kosong antara sistem pertahanan jarak dekat di darat dan ruang rondaan jet pejuang kita di udara,” katanya.

Beliau berkata kriteria paling penting dalam pemilihan sistem MERAD ialah kemampuannya untuk diintegrasikan ke dalam grid Perintah dan Kawalan (C2) moden milik TUDM.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569862