AM

Malaysia Optimis MoU Perjanjian Damai AS-Iran Mampu Buka Jalan Penamatan Konflik - Anwar

18/06/2026 09:53 PM

Daripada Nurul Hanis Izmir

KAZAN, 18 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim optimis memorandum persefahaman (MoU) perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dengan Iran mampu membuka jalan ke arah penamatan konflik serta menjamin keamanan di Asia Barat.

Beliau meluahkan keyakinan terhadap perkembangan positif dalam rundingan berkenaan, walaupun persetujuan muktamad antara kedua-dua negara itu perlu dicapai dalam tempoh maksimum 60 hari.

Anwar berkata keyakinan itu bersandarkan maklumat langsung daripada Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif, yang bertindak sebagai pengantara utama dalam mengemudikan garis masa rundingan kritikal berkenaan.

"(Tempoh) 60 hari itu tidak lama, jadi sama-sama kita doakan … berdasarkan perkara yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri Pakistan kepada saya, beliau telah membincangkan perkara ini secara terbuka serta mendalam, malah terbabit dalam setiap peringkat rundingan tersebut. Segala-galanya kelihatan lebih positif.

"Dalam perbincangan saya bersama-sama Presiden Rusia Vladimir Putin, beliau turut menunjukkan sikap dan pandangan yang sama,” kata beliau pada sidang media selepas menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia ke-35 di sini pada Khamis.

Walaupun tidak menolak sebarang kemungkinan memandangkan situasi itu turut membabitkan pentadbiran Presiden AS Donald Trump, Anwar berkata secara umumnya terdapat keyakinan bahawa perjanjian damai itu akan berjaya dimeterai kali ini.

Pada masa sama, Anwar turut menegaskan bahawa ketika dunia mengalu-alukan usaha damai berkenaan, komuniti antarabangsa tidak boleh melupakan krisis kemanusiaan yang sedang memuncak di zon konflik berhampiran.

"Kita perlu memperingatkan dunia supaya jangan sesekali melupakan kesengsaraan yang sedang dihadapi oleh rakyat di Gaza dan Lubnan akibat kebiadaban rejim Zionis Israel yang berterusan," kata beliau.

Sebelum ini, Kementerian Luar dilaporkan berkata Malaysia menyambut baik pengumuman MoU antara AS dengan Iran, dan menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan di Asia Barat serta mewujudkan asas bagi mencapai penyelesaian yang komprehensif dan berkekalan.

Wisma Putra turut menyatakan penghargaan kepada kerajaan Pakistan, Qatar, Mesir, Arab Saudi, Turkiye dan negara-negara serantau atas peranan masing-masing dalam menyokong usaha diplomatik serta dialog antara kedua-dua pihak.

Anwar berada di Kazan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia ke-35 yang berlangsung selama dua hari bermula semalam. 

Sejurus tamat lawatan beliau di Kazan, Anwar dijadualkan meneruskan lawatan rasmi selama dua hari ke Turkmenistan bermula hari ini atas undangan Presiden Serdar Berdimuhamedov.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2570183