BUKIT MERTAJAM, 16 Jun (Bernama) -- Polis menahan lima individu termasuk dua warga asing serta merampas sisa komponen elektronik atau e-sisa bernilai RM3 juta dalam serbuan di sebuah stor haram di kawasan Bukit Mertajam, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata serbuan menerusi Op Hazard pada 11.30 pagi itu dilakukan selepas disyaki terdapat aktiviti penyimpanan dan pemprosesan sisa elektrik dan elektronik secara tidak sah di premis berkenaan.
Beliau berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua wanita dan seorang lelaki tempatan serta dua lelaki warga China, kesemuanya berusia antara 35 hingga 60 tahun.
“Tiga warga tempatan itu adalah pemilik dan pengendali premis manakala dua lelaki warga asing pula gagal mengemukakan permit kerja sah ketika pemeriksaan dijalankan.
“Hasil pemeriksaan mendapati premis itu digunakan sebagai stor penyimpanan dan pemprosesan bahan sisa komponen elektronik selain menemukan 15 beg jumbo mengandungi papan litar elektrik serta komponen elektronik dipercayai buangan terjadual dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM3 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nik Aminuddin berkata serbuan dilakukan Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah SPT bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Beliau berkata sampel bahan berkenaan telah diambil JAS untuk dianalisis dan pengesahan mengikut peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Siasatan awal turut mendapati premis berkenaan dipercayai telah beroperasi sejak setahun lepas sebagai pusat penyimpanan dan pemprosesan e-sisa, selain tidak memiliki lesen perniagaan yang sah, justeru MBSP telah mengeluarkan dua kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Tiga warga tempatan itu, katanya direman sehari manakala dua warga asing direman empat hari hingga 19 Jun bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 18(1) dan Seksyen 31 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
-- BERNAMA