KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Komuniti penghantar makanan dan barangan di ibu negara kini mempunyai ruang khas untuk berehat dan mendapatkan kemudahan asas menerusi D’Tebing Recharge Rider yang diperkenalkan sebagai Hab P-Hailing Kuala Lumpur.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam kenyataan hari ini memaklumkan hab yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud itu adalah sebahagian daripada usaha memperkukuh kesejahteraan komuniti pekerja gig di ibu negara.
Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan juga mencerminkan komitmen berterusan DBKL dalam menyediakan kemudahan awam yang lebih inklusif, responsif dan mesra pengguna bagi memenuhi keperluan komuniti rider yang sentiasa berkhidmat di lapangan tanpa mengira cuaca dan waktu.
“D’Tebing Recharge Rider menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan komuniti p-hailing termasuk ruang rehat berbumbung, stesen pengecas telefon bimbit, surau, tandas awam serta ruang menunggu pesanan yang lebih selesa dan kondusif.
“Kemudahan ini diwujudkan bagi menyokong kesejahteraan komuniti penghantar yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran aktiviti ekonomi dan kehidupan harian warga kota,” menurut kenyataan itu.
DBKL memaklumkan kemudahan tersebut bukan sekadar menyediakan ruang rehat, malah menjadi simbol pengiktirafan terhadap sumbangan komuniti itu yang memainkan peranan penting dalam menyokong kehidupan harian warga kota.
“Dua unit ruang rehat D'Tebing Recharge Riders ini tersedia 24 jam bagi komuniti penghantar makanan dan barangan memanfaatkan ruang tersebut untuk berehat atau solat manakala stesen cas telefon bimbit akan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 11 malam mengikut masa operasi kedai di sekitar.
“Kedudukan D’Tebing Recharge Riders ini secara strategiknya ditempatkan berdekatan kedai makanan dan minuman yang turut menyediakan menu Rahmah serendah RM5 bagi menyokong komuniti ini yang turut bergelut dengan keadaan ekonomi dan perbelanjaan harian mereka,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Hannah dalam kenyataan sama berkata pembangunan bandar yang mampan perlu mengambil kira keperluan semua lapisan masyarakat termasuk komuniti pekerja gig yang semakin signifikan dalam landskap ekonomi bandar masa kini.
“Pembangunan bandar bukan hanya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur fizikal tetapi juga memastikan golongan yang menyumbang kepada kelancaran kehidupan harian warga kota turut menikmati kemudahan yang selesa, selamat dan bersesuaian dengan keperluan mereka.
“Penyediaan D’Tebing Recharge Rider mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dan DBKL untuk terus memperkukuh kesejahteraan komuniti pekerja gig melalui pendekatan pembangunan bandar yang lebih inklusif, prihatin dan berorientasikan rakyat,” katanya.
-- BERNAMA