JENAYAH & MAHKAMAH

Ops Belanja Dan Selera: 30 Warga Asing Ditahan Di Tiga Lokasi Panas Di Ibu Negara

07/06/2026 11:30 PM

KUALA LUMPUR, 7 Jun (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur menyerbu tiga lokasi panas warga asing menjalankan perniagaan di ibu negara dan menahan 30 individu atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi bersepadu tengah hari tadi.

Dalam Ops Belanja dan Ops Selera yang turut disertai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur itu sebanyak 16 premis perniagaan yang disyaki dikendalikan oleh warga asing telah diperiksa dalam serbuan yang dijalankan di Maluri, Pantai Dalam dan Segambut Dalam.

Menurut sumber dalam serbuan di Maluri sebanyak 17 lelaki warga asing ditahan, manakala di Pantai Dalam melibatkan lima individu dan di Segambut Dalam lapan individu.

“Mereka yang ditahan melibatkan 29 lelaki dan seorang wanita yang terdiri daripada warga negara Bangladesh, Myanmar, Indonesia, India dan Pakistan lingkungan usia 40-an.

“Operasi seperti ini akan lebih giat diadakan agar tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang berhubung dakwaan berlaku pengambilalihan kegiatan perniagaan tempatan oleh warga asing,” menurut sumber.

Wartawan Bernama yang mengikuti operasi selama empat jam bermula tengah hari tadi mendapati rata-rata warga asing yang ditahan kerana melanggar syarat permit terutama pemegang permit bagi sektor pembinaan bagaimanapun didapati mengendalikan kedai runcit dan kedai makan.

Dalam operasi sama SSM turut mengeluarkan 15 notis terhadap premis perniagaan yang diperiksa atas pelbagai kesalahan antaranya gagal mempamer nama berdaftar dan nombor pendaftaran syarikat di tempat perniagaan dan tidak pamer papan tanda, nama perniagaan dan nombor pendaftaran perniagaan.

KPDN Kuala Lumpur pula mengeluarkan 10 kompaun berjumlah RM6,500 atas kesalahan melibatkan harga dan alat timbang sukat.

Difahamkan kesemua yang ditahan dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuala Lumpur bagi proses pemeriksaan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565806