PASARAN

Bursa Malaysia Dibuka Rendah Sedikit Susulan Aktiviti Pengambilan Untung

16/06/2026 10:08 AM

KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit pada Selasa berikutan aktiviti pengambilan untung selepas kenaikan pasaran pada sesi sebelumnya, sekali gus memberi tekanan kepada indeks penanda aras.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 4.48 mata kepada 1,686.91 daripada paras 1,691.39 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.07 mata lebih rendah pada 1,691.32.

Sentimen pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 221 berbanding 174. Sebanyak 324 kaunter tidak berubah, 1,990 tidak diniagakan dan 25 digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 302.68 juta saham bernilai RM143.85 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street meneruskan kenaikannya selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata AS dan Iran telah mencapai persetujuan untuk menamatkan peperangan.

“Bagaimanapun, kami mengunjurkan aktiviti belian pada harga rendah akan menjadi tumpuan memandangkan jumlah dagangan harian melepasi paras lima bilion saham.

“Oleh itu, dijangkakan indeks akan meneruskan aliran meningkat dan bergerak dalam julat 1,690 hingga 1,710 hari ini,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM10.92 dan RM4.92. Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM14.46, CIMB berkurangan empat sen kepada RM7.65 dan IHH Healthcare turun lima sen kepada RM8.64.

Bagi saham aktif, Tanco meningkat setengah sen kepada 13.5 sen, Elsa, yang baharu disenaraikan di Pasaran ACE menambah tiga sen kepada 26 sen manakala GIIB tidak berubah pada 48 sen. Hong Seng susut setengah sen kepada satu sen dan AirAsia X turun satu sen kepada RM1.30.

Dalam kalangan kaunter untung utama, Hong Leong Financial meningkat 12 sen kepada RM18.54, Hong Leong Bank menambah 10 sen kepada RM21.76, IOI Properties naik enam sen kepada RM4.24 manakala Critical dan Powerwell masing-masing meningkat lima sen kepada RM1.18 dan 89 sen.

Kaunter rugi utama pula termasuk Malaysian Pacific Industries dan Nestle yang masing-masing susut 62 sen kepada RM48.38 dan RM93.88. Negri Sembilan Oil Palms turun 18 sen kepada RM5.24 manakala UWC dan Fraser & Neave masing-masing berkurangan 10 sen kepada RM6.10 dan RM27.40.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 27.81 mata kepada 12,533.12, Indeks FBMT 100 susut 28.58 mata kepada 12,366.13 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 34.90 mata kepada 12,386.86.

Indeks FBM Mid 70 merosot 23.53 mata kepada 18,069.24, manakala Indeks FBM ACE meningkat 21.79 mata kepada 4,773.66.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 7.29 mata kepada 19,984.06, Indeks Perladangan berkurangan 29.32 mata kepada 8,699.69 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.82 mata kepada 188.82, manakala Indeks Tenaga naik 0.11 mata kepada 760.57.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2568973