BEIJING, 16 Jun (Bernama-CMG) -- Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) perlu terus memainkan peranan penting sebagai model yang menyumbang kepada keamanan dunia, pembangunan, kerjasama dan situasi saling menguntungkan.
Menteri Luar China Wang Yi berkata demikian ketika berucap pada majlis resepsi bagi meraikan ulang tahun ke-25 SCO, di sini pada Isnin.
Beliau menyifatkan penubuhan SCO sebagai membuka lembaran baharu dalam hubungan antarabangsa kontemporari.
Menurut Wang, negara anggota SCO telah membina Semangat Shanghai yang menekankan aspek saling percaya, manfaat bersama, kesamarataan, rundingan bersama, saling menghormati kepelbagaian tamadun serta kemakmuran bersama.
Beliau berkata empat inisiatif global utama yang disyorkan China serta gagasan komuniti berkongsi nasib sesama insan menyediakan alternatif kepada dunia.
Wang menambah bahawa China sedia berkongsi peluang pembangunan dengan negara anggota SCO yang lain bagi mencapai kerjasama yang menguntungkan semua pihak.
Sementara itu, Setiausaha Agung SCO Nurlan Yermekbayev berkata Sidang Kemuncak SCO 2025 di Tianjin menerima pakai strategi pembangunan pertubuhan berkenaan untuk tempoh sedekad akan datang, sekali gus menetapkan hala tuju yang berpandangan jauh dan praktikal.
Beliau berharap negara anggota SCO dapat terus bersinergi demi memberi manfaat kepada rakyat negara masing-masing, selain memajukan keamanan dan pembangunan serantau.
-- BERNAMA-CMG