DUNIA

OIC Kutuk Sekeras-Kerasnya Pembukaan Kedutaan Somaliland Di Baitulmuqaddis

16/06/2026 02:00 PM

JEDDAH, 16 Jun (Bernama-WAFA) -- Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengutuk sekeras-kerasnya pembukaan kedutaan oleh wilayah Somaliland di Baitulmuqaddis yang diduduki, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Sekretariat Agung itu menegaskan bahawa tindakan berkenaan adalah menyalahi undang-undang serta merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan resolusi berkaitan.

Ia turut menegaskan bahawa Israel, sebagai kuasa pendudukan tidak mempunyai kedaulatan ke atas Baitulmuqaddis yang diduduki dan semua keputusan serta langkah yang bertujuan mengubah status politik, perundangan atau demografi bandar itu adalah terbatal dan tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa.

Sekretariat Agung itu menegaskan semula solidariti penuh terhadap Somalia serta sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kedaulatan negara dan keutuhan wilayahnya, sambil menggesa masyarakat antarabangsa mengambil pendirian tegas terhadap tindakan menyalahi undang-undang itu serta menentangnya.

-- BERNAMA-WAFA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2569071