PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) -- Malaysia menyambut baik pengumuman Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran, dan menyifatkannya sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan di Asia Barat serta mewujudkan asas bagi mencapai penyelesaian yang komprehensif dan berkekalan.
Menurut Kementerian Luar, Malaysia menyatakan penghargaannya kepada kerajaan Pakistan, Qatar, Mesir, Arab Saudi, Turkiye dan negara-negara serantau atas peranan masing-masing dalam menyokong usaha diplomatik serta dialog antara kedua-dua pihak.
Kementerian itu mengambil maklum bahawa Malaysia turut mengiktiraf komitmen serta penglibatan secara membina yang ditunjukkan oleh semua pihak dalam memajukan usaha mengurangkan ketegangan serta mempromosikan keamanan dan kestabilan.
"Malaysia berharap rundingan lanjut dapat dimulakan menuju ke arah persetujuan akhir menjelang pemeteraian MoU itu di Switzerland, yang dijadualkan pada 19 Jun 2026, serta menentusahkan langkah pelaksanaan awal," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ia berkata langkah-langkah berkenaan termasuk pengaturan keselamatan maritim, pelepasan sekatan secara berfasa dan langkah pembinaan kepercayaan lain seperti yang digariskan oleh kedua-dua pihak.
Langkah berkenaan dijangka menyumbang kepada penghentian permusuhan secara berkekalan, meningkatkan kestabilan wilayah, melindungi kebebasan pelayaran di sepanjang Selat Hormuz, serta memperkukuh ekonomi global dan keterjaminan tenaga.
Kementerian Luar menegaskan Malaysia kekal dengan pendirian jelas bahawa keamanan yang berkekalan hanya boleh dicapai menerusi dialog, diplomasi dan saling menghormati.
Ia juga menyatakan kesediaan Malaysia untuk menyokong semua inisiatif membina yang menyumbang kepada pengekalan keamanan dan keselamatan antarabangsa, serta keadilan dan kemakmuran.
-- BERNAMA