GAYA HIDUP

Asean Youth Orchestra Festival Kuala Lumpur Perkasa Pemuzik Muda Tempatan

15/06/2026 02:01 PM

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) --  Seramai 85 pemuzik muda dari tujuh negara ASEAN bakal menjayakan edisi sulung ASEAN Youth Orchestra Festival Kuala Lumpur (AYOFKL) 2026 yang dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 28 Jun ini.

Ketua Jabatan Perkembangan Bakat Muzik Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) Ahmad Muriz Che Rose berkata AYOFKL 2026 bertujuan meningkatkan kompetensi pemuzik muda tempatan agar mereka lebih berdaya saing pada peringkat serantau.

"Muzik ialah bahasa penyatu yang tidak mengenal sempadan, menghubungkan belia dan komuniti. Dalam dunia orkestra, pemuzik menjadi lebih matang apabila mereka kerap bermain dan berinteraksi bersama-sama.

“Festival ini juga menggalakkan hubungan persahabatan dan perpaduan yang lebih erat melalui pemahaman silang budaya, pembelajaran secara kolaboratif, pengalaman bersama dan interaksi sosial," katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

pic-2

Festival anjuran MPO dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu menghimpunkan pemuzik muda berusia 10 hingga 28 tahun dari Malaysia, Singapura, Filipina, Indonesia, Thailand, Brunei dan Vietnam bagi mengikuti latihan intensif, persembahan, bengkel serta program pertukaran budaya.

"Semua peserta akan menjalani latihan intensif berpusat di Akademi Nazir Razak di Bandar Baru Bangi, Selangor, bagi memastikan persediaan berada pada tahap terbaik. Hubungan profesional dan interaksi sosial yang terjalin sepanjang minggu festival ini dijangka membuka peluang kerjasama baharu dan berterusan selepas festival berakhir," katanya.

Ahmad Muriz berkata peserta dipilih menerusi saringan berasaskan merit dengan menghantar video persembahan merangkumi karya ketetapan MPO serta lagu pilihan sendiri.

"Sebab apa kita buat macam itu? Kita mahu menaikkan aras penanda keupayaan muzik mereka. Kita tidak mahu sekadar menganjurkan satu lagi festival biasa kerana matlamatnya adalah untuk membentuk dan menggilap bakat pemuzik muda," katanya.

pic-3

Bersempena dengan AYOFKL 2026, beliau berkata orang awam turut dijemput menghadiri 12 bengkel instrumen muzik secara percuma seperti violin, biola, cello, horn, trumpet, obo, klarinet, flut, genderang, trombon, tuba dan basun, yang dikendalikan pemuzik profesional MPO yang akan berlangsung di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur dari 23 hingga 25 Jun ini.

"Program berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha MPO menyumbang semula kepada masyarakat menerusi perkongsian ilmu dan pemindahan kemahiran. Orang awam dijemput hadir sebagai pemerhati dan perlu mendaftar lebih awal di laman sesawang MPO kerana tempat adalah terhad," katanya.

Beliau berkata festival itu turut dimeriahkan dengan konsert komuniti percuma oleh Malaysian Philharmonic Youth Orchestra (MPYO) bertemakan “MPYO & Friends: Echoes of the Region” yang akan berlangsung pada 25 Jun di Auditorium DBKL. Konsert ini juga bersempena dengan Festival Orkestra Kuala Lumpur.

pic-4

Konsert yang dipimpin Ahmad Muriz itu menampilkan kolaborasi MPYO bersama-sama dengan TRUST Orchestra dari Indonesia serta penyanyi popular Aina Abdul, Amir Masdi, Ruebben Chelvan dan Ruhil Ariana.

“Antara karya yang bakal dipersembahkan ialah lagu-lagu rakyat ASEAN dan juga Tanah Pusaka, You Raise Me Up, Pangako Sa' Yo dan Sahabat Selamanya, selain karya baharu komposer tempatan Sebastian Ooi berjudul Memories of Childhood yang diadaptasi daripada lagu rakyat Lat Talilat Tamplong serta gubahan lagu tradisi Rasa Sayang oleh Wan Azlan Wan Ahmad Rasdi.

“Pentas itu juga memberi peluang kepada dua konduktor muda tempatan, Yee Ke-Jin dan Timmy Lim, yang telah dibimbing menerusi sesi latihan dan bengkel khas oleh Konduktor Residen MPO Gerard Salonga,” katanya.

Ahmad Muriz berkata festival itu akan diakhiri dengan Konsert Gala AYOFKL 2026, yang akan menampilkan bakat-bakat terbaik dalam kalangan peserta negara ASEAN di bawah pimpinan Gerard Salonga di Dewan Filharmonik PERONAS pada Sabtu, 27 Jun ini.

"Antara karya yang akan dipersembahkan ialah Olympic Fanfare And Theme karya John Williams, diikuti Rhapsody On A Theme Of Paganini ciptaan Sergei Rachmaninoff dan Symphony No. 1 (The Titan) karya Gustav Mahler,” katanya.

pic-5

Menampilkan pemain piano tempatan, Celestine Yoong Qian Yi, Ahmad Muriz berkata konsert gala ini memupuk kecemerlangan kolektif rantau ini dan melambangkan solidariti serta keharmonian ASEAN melalui kuasa muzik.

"Pengalaman mempersembahkan karya bertaraf profesional di sebuah dewan konsert bertaraf dunia merupakan peluang yang amat bernilai buat pemuzik muda dan tidak boleh dibeli dengan wang ringgit," katanya yang berharap untuk menjadikan AYOFKL sebagai acara dwi-tahunan selepas ini.

Tiket konsert gala AYOFKL 2026 ditawarkan pada harga RM100 (B Reserve), RM150 (A Reserve), RM175 (Premium) dan RM250 bagi tempat duduk suite, manakala tiket pelajar berharga RM75 dengan pengesahan kad pelajar. Pembelian berkumpulan sebanyak 10 tiket dan ke atas layak menikmati diskaun 10 peratus.

Tempahan boleh dibuat menerusi Box Office Dewan Filharmonik PETRONAS di talian 03-23317007, e-mel boxoffice@dfp.com.my atau laman web MPO.

Selain MOTAC, AYOFKL 2026 turut mendapat sokongan daripada CIMB Bank Bhd, Visit Malaysia 2026, Festival Orkestra Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan MHholidays by Malaysia Aviation Group.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2568655