AM

Penyelesaian Isu Rumah Panjang Bukit Kiara Bukti Komitmen Kerajaan Kepada Rakyat - Ramanan

15/06/2026 09:53 PM

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) -- Penyelesaian isu penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara mencerminkan iltizam kerajaan untuk memastikan masalah rakyat tidak terus berlarutan dari satu generasi ke generasi berikutnya, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata projek perumahan kekal yang merangkumi pemberian dua unit rumah baharu secara percuma kepada setiap keluarga yang layak akan memberi manfaat langsung kepada komuniti miskin bandar.

“Keputusan yang dimuktamadkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ini adalah satu isyarat jelas bahawa kerajaan tidak akan menangguhkan keadilan kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh turut menyambut baik pengumuman sumbangan tambahan sebanyak RM1 juta oleh Perdana Menteri kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tujuan penyelenggaraan kawasan itu untuk tempoh tiga tahun.

“Projek ini mungkin sederhana dari segi skala fizikal, namun impaknya sangat besar kepada kehidupan rakyat yang telah menunggu terlalu lama" katanya.

Terdahulu, Anwar menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Rumah Kekal bagi Penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara di sini hari ini.

Isu penempatan penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara berlarutan selama lebih empat dekad sebelum usaha perundangan yang digerakkan wakil penduduk sejak 2018 akhirnya membawa kepada penyelesaian yang disifatkan lebih bermaruah tanpa menjejaskan pemeliharaan Taman Rimba Kiara susulan cadangan pembangunan di kawasan itu.

-- BERNAMA 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2568919