Oleh Wartawan Bernama Lifestyle
KUALA LUMPUR, 8 Jun (Bernama) -- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) terus memperkukuh komitmennya dalam memelihara seni warisan negara menerusi pelancaran UTP Gamelan Melayu Centre bersempena dengan penganjuran festival Ensemble of Gamelan (EOG) 2026 pada Sabtu lepas.
UTP dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelancaran pusat berkenaan diadakan bersempena dengan festival Ensemble of Gamelan (EOG) 2026 edisi ke-12 yang berlangsung pada Sabtu lepas.
Menurut universiti itu, penubuhan pusat berkenaan mencerminkan usaha berterusan bagi memastikan seni Gamelan Melayu terus berkembang sebagai warisan budaya yang relevan, lestari dan dihargai oleh generasi masa hadapan.
pic-2
Pusat itu dirasmikan oleh Pegawai Kewangan Negeri Terengganu Datuk Tun Ahmad Faizal Tun Abd Razak.
Mengenai EOG 2026, UTP memaklumkan penganjuran yang memasuki edisi ke-12 tahun ini membawa tema "Evolusi Gamelan" bagi mengangkat perjalanan seni itu daripada akar tradisi istana kepada bentuk ekspresi moden dan bersifat global tanpa mengabaikan nilai asal serta kehalusan estetiknya.
Sementara itu, Pengarah Projek EOG 2026 Muhammad Haikal Man Ghazali berkata festival berkenaan bukan sekadar platform persembahan, malah menjadi ruang yang mempertemukan tradisi dengan interpretasi baharu.
pic-3
"EOG adalah ruang di mana tradisi bertemu dengan interpretasi baharu. Ia bukan hanya tentang persembahan, tetapi tentang bagaimana kita memahami dan menghidupkan semula warisan dalam konteks masa kini," katanya.
Festival anjuran Kumpulan Gamelan UTP Sanggar Kirana dengan kerjasama Unit Pemerkasaan Bakat, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UTP itu menghimpunkan 11 kumpulan persembahan daripada institusi pengajian tinggi, sekolah serta kumpulan seni dan warisan budaya.
pic-4
Antara yang mengambil bahagian ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta kumpulan seni Gangsapura dan Warisan Sari yang dianggotai adiguru Gamelan Melayu Terengganu.
Turut mewarnai festival itu ialah kumpulan gamelan tuan rumah, Sanggar Kirana, yang telah ditubuhkan sejak tahun 2002 dan kini mempunyai 47 ahli aktif daripada pelbagai bidang pengajian.
Di bawah bimbingan Mohd Nordin Abdolatip dan Shazrul Hazwan Roslan, kumpulan itu turut menerbitkan beberapa album termasuk Gatra Pertama, Gatra Kedua, Gatra Ketiga dan Tala Perunggu: Jilid Satu.
-- BERNAMA