AM

1,500 Pertubuhan Belia Terima Geran SejaTi MADANI X Belia

13/06/2026 06:21 PM

MELAKA, 13 Jun (Bernama) — Sebanyak 1,500 pertubuhan belia seluruh negara menerima Geran SejaTi MADANI X Belia yang mula diperkenalkan kerajaan pada tahun ini, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Beliau berkata geran yang disediakan sebanyak RM250 juta itu bertujuan menjana pendapatan kepada pertubuhan belia dalam bidang berkaitan keusahawanan.

“Kita mengharapkan golongan belia bukan sahaja mampu menjadi pemimpin malah menjadi usahawan hebat sekali gus pertubuhan mereka dapat berdikari tanpa mengharapkan bantuan dari luar.

“Geran berkenaan akan membolehkan mereka menceburi bidang keusahawanan seperti pertanian, pelancongan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Sesi Townhall sempena Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) peringkat Melaka 2026 di Dewan Haji Katimin, Kampung Paya Redan di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Beliau berkata pihaknya mampu mencapai sasaran 3,500 pertubuhan belia untuk memohon geran berkenaan pada hujung tahun ini.

Kerajaan sebelum ini memperluas pemberian Geran SejaTi MADANI pada tahun ini kepada pertubuhan belia bagi membangunkan aktiviti keusahawanan yang boleh menjana pendapatan kepada persatuan masing-masing.

— BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2568180