KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Sebanyak RM750,000 peruntukan khas segera diluluskan bagi memperkukuh penyampaian perkhidmatan di Klinik Kesihatan (KK) Durian Tunggal dan Klinik Pergigian Durian Tunggal, Melaka.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peruntukan itu akan digunakan bagi perolehan aset perubatan dan bukan perubatan selain melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan infrastruktur secara menyeluruh.
"Suntikan dana ini amat kritikal bagi menampung unjuran lonjakan kedatangan pesakit di kawasan ini yang kini telah mencecah lebih 110,000 orang setahun," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata secara umumnya, peruntukan itu akan dimanfaatkan bagi membiayai projek naik taraf Bilik Rawatan Ibu dan Anak (MCH), Bilik Kaunseling, serta penurapan kawasan tempat letak kenderaan awam di KK Durian Tunggal.
Selain itu, peruntukan turut digunakan bagi kerja pembaikan Bilik Saringan Pesakit di Klinik Pergigian serta perolehan kelengkapan klinikal yang baharu demi keselesaan pesakit dan petugas.
"Segala usaha naik taraf ini ialah terjemahan langsung kepada komitmen Kementerian Kesihatan dalam menjunjung prinsip kebolehcapaian dan ekuiti kesihatan," katanya yang turut meninjau pengoperasian kedua-dua klinik itu pada hari ini.
-- BERNAMA