PUTRAJAYA, 5 Jun (Bernama) -- Jabatan Standard Malaysia (JSM), agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), hari ini menganugerahkan Akreditasi MS ISO/IEC 17065 bagi Skim Pensijilan Makanan Organik kepada Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM), Kementerian Kesihatan (KKM).
Ketua Pengarah JSM See Chee Kong berkata penganugerahan itu menandakan pencapaian penting dalam memperkukuh infrastruktur kualiti kebangsaan serta mengesahkan kompetensi, operasi dan kesaksamaan PKKM, KKM dalam mengendalikan skim pensijilan produk organik mengikut tanda aras antarabangsa.
Beliau berkata akreditasi itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan sistem penilaian pematuhan di Malaysia kekal diyakini, telus dan diiktiraf pada peringkat global.
"Melalui akreditasi ini, JSM mengesahkan bahawa PKKM mempunyai keupayaan teknikal yang kukuh untuk menilai produk makanan organik secara berintegriti. Ini bukan sahaja memperkukuh ekosistem kawal selia kesihatan, malah turut memberikan nilai tambah kepada sektor perdagangan dan industri makanan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata MS ISO/IEC 17065 ialah standard kebangsaan yang mengguna pakai piawaian antarabangsa ISO/IEC 17065, yang menggariskan kriteria ketat terhadap badan yang menjalankan pensijilan produk, proses dan perkhidmatan.
See berkata pengiktirafan di bawah International Accreditation Forum (IAF) Multilateral Recognition Arrangement (MLA) itu membolehkan produk makanan organik Malaysia lebih mudah menembusi pasaran antarabangsa selain mengurangkan halangan teknikal kepada perdagangan (TBT) serta memudahkan penerimaan bagi pasaran eksport.
Selain itu, beliau berkata pengiktirafan berkenaan turut meningkatkan keyakinan pengguna tempatan terhadap produk yang dilabelkan dengan logo organik PKKM kerana sistem pensijilan disokong rangka kerja akreditasi yang bebas, telus dan tidak berat sebelah, sekali gus menyokong aspirasi negara dalam memperkukuh jaminan makanan dan amalan lestari.
Skim Pensijilan Makanan Organik ialah berasaskan MS 1529, iaitu standard kebangsaan bagi makanan organik berasaskan tumbuhan yang menetapkan keperluan pengeluaran, pemprosesan, pelabelan dan pengendalian produk organik.
Standard itu turut diselaraskan dengan rujukan serantau dan antarabangsa termasuk ASEAN Standard for Organic Agriculture (ASOA), Codex Alimentarius dan International Federation of Organic Agriculture Movements (IFOAM) bagi memastikan keseragaman dan pengiktirafan pada peringkat dunia.
-- BERNAMA