DUNIA

UNIFIL Kecam Serangan Ragut Nyawa Anggota Tentera Lubnan

07/06/2026 08:46 AM

ISTANBUL, 7 Jun (Bernama-Anadolu) -- Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) pada Sabtu mengecam serangan udara yang mengorbankan anggota tentera Lubnan di selatan negara itu, sambil menyifatkannya sebagai pelanggaran terhadap kedaulatan Lubnan dan resolusi penting Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Anadolu Ajansi (AA).

Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi platform media sosial X, UNIFIL merakamkan ucapan takziah kepada Angkatan Tentera Lubnan serta keluarga anggota tentera yang dilaporkan terbunuh dalam serangan di kawasan Nabatieh awal hari itu.

"Serangan sedemikian di wilayah Lubnan merupakan pelanggaran serius terhadap kedaulatan, integriti wilayah Lubnan dan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas pihak berkuasa Lubnan memaklumkan bahawa satu serangan Israel mengenai sebuah kenderaan tentera di selatan Lubnan, mengorbankan dua pegawai dan seorang anggota tentera.

Presiden Lubnan Joseph Aoun mengecam serangan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Lubnan dan undang-undang antarabangsa, manakala Perdana Menteri Nawaf Salam menyifatkannya sebagai jenayah terhadap Lubnan dan rakyatnya.

Tentera Israel mengakui menyasarkan kenderaan berkenaan dan memaklumkan bahawa insiden itu sedang disiasat. 

Tentera Israel mendakwa kenderaan itu bergerak dalam keadaan mencurigakan berhampiran pasukannya di kawasan yang dikesan mempunyai aktiviti Hizbullah.

Serangan itu berlaku meskipun gencatan senjata yang rapuh mula berkuat kuasa pada April lalu, ketika usaha diplomatik diteruskan bagi mengelakkan ketegangan kembali memuncak di sepanjang sempadan Lubnan-Israel.

Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB, yang menamatkan perang pada 2006 antara Israel dan Hizbullah, menggesa supaya permusuhan dihentikan serta kedaulatan Lubnan dihormati.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565551