KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan penghargaan kepada sukarelawan, pasukan penyelamat dan komuniti Orang Asli Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Perak selepas pendaki wanita Jaslinda Saludin yang dilaporkan hilang sejak 24 Mei lepas ditemukan selamat, petang tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut melahirkan rasa syukur atas penemuan wanita berusia 49 tahun itu.
"Alhamdulillah, syukur. Terima kasih sukarelawan dan pasukan penyelamat, serta warga Orang Asli Lubuk Gaharu kerana melindungi saudari Jaslinda," kata beliau.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Datuk Sayani Saidon memaklumkan Jaslinda ditemukan dalam keadaan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh kira-kira 3 petang.
Beliau berkata mangsa ditemukan oleh seorang penduduk, Nazri a/l Bah Eng, yang kemudiannya memaklumkan perkara itu kepada pihak berkuasa melalui anak saudaranya yang berada di Johor.
Sayani berkata Jaslinda kini ditempatkan sementara di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu sementara tindakan lanjut sedang diuruskan pihak berkaitan.
Sebelum ini, pendaki wanita itu dilaporkan bersama-sama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh.
Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) menyalurkan bantuan kepada keluarga sukarelawan Orang Asli yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan mereka.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut merakamkan penghargaan khusus kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Lubuk Gaharu dan Kampung Orang Asli Ampang Woh yang memainkan peranan sehingga membawa kepada penemuan Jaslinda dalam keadaan selamat.
"Alhamdulillah, saya bersyukur apabila menerima khabar mengenai Jaslinda Saludin yang dilaporkan hilang ketika mendaki di kawasan Gunung Batu Putih, Perak telah ditemukan dalam keadaan selamat petang tadi," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut merakamkan terima kasih kepada semua pihak terlibat dalam operasi SAR itu termasuk pasukan keselamatan, agensi penyelamat, sukarelawan serta masyarakat Orang Asli yang bertungkus lumus membantu sepanjang operasi berkenaan dijalankan.
"Sama-sama kita mendoakan semoga Jaslinda terus diberi kesihatan yang baik, dipermudah segala urusan dan dapat segera kembali bersama dengan keluarga tersayang," katanya.
-- BERNAMA