AM

Anwar Ziarah Sahabat Lama, Syed Hamid Di Batu Pahat

06/06/2026 11:26 PM

KUALA LUMPUR, 6 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluangkan masa menziarahi sahabat lamanya, Syed Hamid Ali ketika berada di Batu Pahat, Johor.

Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata beliau mengenali Syed Hamid atau dikenali sebagai Pak Hamid sejak sekian lama dan menyifatkan sahabatnya itu sebagai antara tokoh penting dalam gerakan mahasiswa ketika mereka menuntut di Universiti Malaya.

"Beliau adalah antara tokoh penting dalam gerakan mahasiswa sewaktu kami di Universiti Malaya dan lantang memperjuangkan isu keadilan sosial dan hak orang-orang susah," kata beliau.

Perdana Menteri berkata dalam pertemuan itu, mereka turut mengimbau pelbagai kenangan lama termasuk kisah jaket merah yang pernah dipinjamkan Syed Hamid kepadanya ketika menghadiri satu persidangan di luar negara puluhan tahun lepas.

"Malangnya, jaket itu tidak dapat saya pulangkan kerana hilang di Tok Kun," kata beliau.

Anwar turut merakamkan penghargaan terhadap keteguhan Syed Hamid dalam perjuangan serta kesediaannya berkongsi pandangan dan pedoman.

Beliau turut mendoakan agar Syed Hamid dan keluarganya dikurniakan kesihatan serta kesejahteraan yang berpanjangan.

Perdana Menteri berkata beliau juga menyampaikan salam daripada isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, manakala Syed Hamid menghadiahi beliau sebuah memoir Kenangan Seorang Patriot

Kenangan Seorang Patriot ialah hasil tulisan Syed Hamid yang mengisahkan perjalanan hidup beliau sebagai aktivis, bekas pemimpin mahasiswa dan pejuang keadilan sosial.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2565512