DUNIA

Tiga Dokumentari China Mula Disiarkan Di Laos

03/06/2026 01:40 PM

BEIJING, 3 Jun (Bernama-CMG) -- Tiga dokumentari China terbitan Kumpulan Media China (CMG) mula disiarkan di media arus perdana Laos, termasuk Stesen Televisyen Negara Laos pada Isnin.

Dokumentari berkenaan ialah “Kepekaan Xi Jinping terhadap Kebudayaan”, “Memimpin (Versi Antarabangsa)” dan “Pemikiran Baharu dari Kitab”.

Presiden Laos Thongloun Sisoulith merakamkan ucapan tahniah berhubung penyiaran tiga dokumentari itu.

Dalam ucapan tahniahnya, Thongloun yang juga Setiausaha Agung Parti Revolusi Rakyat Laos berkata ketiga-tiga dokumentari berkenaan mengandungi kebijaksanaan falsafah China dan mencerminkan keprihatinan Xi terhadap perlindungan warisan budaya.

Beliau berkata pemimpin China itu bukan sahaja berpandangan jauh, malah menyemarakkan semangat patriotik dalam pentadbiran negara dan menunjukkan keterujaan terhadap peradaban China yang berusia lebih 5,000 tahun.

“Ketiga-tiga dokumentari ini memperlihatkan negara Tembok Besar berada di landasan pembangunan ke arah kebangkitan semula di pentas dunia, disokong oleh peradaban tradisional yang menjadi urat nadi bangsa.

“Ini boleh dijadikan inspirasi kepada Laos untuk melindungi dan mempromosikan identiti budaya tempatan, selain memajukan pembangunan sosioekonomi yang serasi dengan ekosistem negara sosialis,” katanya.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik China-Laos serta Tahun Persahabatan China-Laos, dan majlis pelancarannya pernah disaksikan bersama oleh pemimpin kedua-dua negara.

Majlis perasmian penyiaran ketiga-tiga dokumentari itu diadakan oleh CMG bersama Jabatan Seranta Jawatankuasa Pusat Parti Revolusi Rakyat Laos di Vientiane pada Selasa, dengan kehadiran lebih 200 tetamu.

-- BERNAMA-CMG

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2564154