PORT DICKSON, 25 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas cedera selepas diserang seekor buaya ketika keluar menjala di sebuah kawasan jeti di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata siasatan awal mendapati mangsa berusia 62 itu dipercayai keluar menjala seorang diri di kawasan berkenaan pada waktu malam, sebelum diserang reptilia itu kira-kira 4 pagi ketika berada di tepi sungai.
“Buaya terbabit dipercayai menerkam kaki kiri mangsa dan mengheretnya ke dalam sungai. Bagaimanapun mangsa dapat menyelamatkan diri selepas berpaut pada sebuah batu besar.
"Mangsa kemudiannya berjaya naik ke tebing sungai dan mendapatkan bantuan daripada ahli keluarganya sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan termasuk patah jari kaki kiri, patah buku lali kiri serta beberapa luka pada kedua-dua belah kaki.
Alzafny berkata mangsa menerima rawatan selepas menjalani pembedahan di Hospital Port Dickson, dan kes berkenaan dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) negeri untuk tindakan lanjut.
Anak angkat mangsa Nursyuhadah Jamaludin, 25, berkata ketika kejadian bapanya berada di tebing sungai untuk menjala dan tidak menyedari kehadiran buaya tersebut sebelum diserang.
"Ayah kini berada dalam keadaan stabil. Kami dapat rasa ayah sedikit trauma dengan kejadian pagi tadi, kita boleh nampak dia dalam kesakitan kerana kaki dari buku lali dan bahagian paha luka akibat diserang buaya, mujur semuanya selamat," katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan Faizal Izham Pikri berkata beberapa tindakan dilaksanakan antaranya melakukan pemantauan secara berterusan di tempat kejadian sebaik menerima laporan mengenai insiden tersebut.
Beliau berkata selain itu pihaknya juga memasang papan tanda amaran agar pemancing dan orang awam maklum serta berhati-hati ketika berada di kawasan habitat buaya
"Jika perlu kita akan pasang perangkap buaya dilokasi kejadian. Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan mengelakkan aktiviti di kawasan sungai atau lokasi yang menjadi habitat reptilia ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.
-- BERNAMA