KOTA KINABALU, 25 Mei (Bernama) -- Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) yang bakal diperkenalkan, dijangka memperkukuh aspirasi Malaysia mencapai Sifar Bersih 2050 daripada dasar sukarela kepada kewajipan mandatori, yang termaktub dalam perundangan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata rang undang-undang yang dinantikan itu, menyediakan kerangka asas bagi pembentukan Dasar Karbon Negara.
“RUUPIN juga memberi kuasa kepada kerajaan untuk memastikan sektor awam dan swasta bertanggungjawab dalam mencapai sasaran penyahkarbonan negara,” katanya menerusi ucapan video yang disiarkan pada Sidang Kemuncak Hijau dan Kelestarian Dunia 2026 di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Kanan Kemboja Dr Chhem Kieth Rethy dan Pengerusi Institut Strategik KSI bagi Asia Pasifik Tan Sri Majid Khan.
Sifar Bersih 2050, merujuk kepada aspirasi negara untuk mencapai pelepasan sifar bersih gas rumah hijau, iaitu jumlah karbon yang dilepaskan ke atmosfera diimbangi sepenuhnya melalui penyingkiran atau pengimbangan karbon menjelang 2050.
Arthur berkata RUUPIN akan mengukuhkan keupayaan kerajaan dalam melaksanakan instrumen berasaskan pasaran yang lebih komprehensif, khususnya Skim Perdagangan Pelepasan domestik dan mekanisme harga karbon.
“Perundangan ini dirangka bagi memastikan standard negara memenuhi penanda aras antarabangsa menerusi pemformalan standard Pengukuran, Pelaporan dan Verifikasi. Langkah ini akan mengukuhkan kebolehpasaran kredit karbon Malaysia di peringkat global,” katanya.
Arthur berkata bagi memperkukuh momentum hijau negara, Kabinet turut meluluskan Dasar Pasaran Karbon Negara pada 1 April.
Beliau berkata dasar itu, berperanan sebagai jambatan strategik untuk membangunkan landskap karbon negara ke arah rangka kerja pematuhan yang lebih menyeluruh.
“Sasaran kita ialah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau antara 15 hingga 30 juta tan metrik karbon dioksida menjelang 2035, menerusi pelaksanaan Artikel 6 Perjanjian Paris dan penubuhan Daftar Karbon Negara,” katanya.
Arthur yang tidak dapat menghadiri sidang kemuncak itu secara fizikal kerana menghadiri Mesyuarat Kabinet di Putrajaya, berkata negara kini bukan lagi sekadar membincangkan kelestarian sebagai aspirasi abstrak, sebaliknya telah memasuki fasa pelaksanaan dan tindakan.
-- BERNAMA