SUKAN

Wei Chong-Kai Wun Terlepas Terbuka Singapura, Indonesia - Herry

25/05/2026 03:43 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Pasangan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun sah tidak akan menyertai dua kejohanan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) - Terbuka Singapura yang bermula esok dan Terbuka Indonesia pada 2 Jun.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata keputusan itu dibuat selepas Wei Chong masih belum sembuh sepenuhnya daripada kecederaan lutut dialaminya sebelum ini.

“Perkembangan untuk Wei Chong, dia masih berehat dan kakinya belum sembuh. Rutinnya ketika ini ialah berlatih kemudian berehat.

“Tapi untuk sementara ini memang dia belum bersedia untuk sebarang kejohanan. Jadi Terbuka Singapura dan Indonesia mereka akan terlepas,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu mengulas tahap kecederaan Wei Chong ketika ini, Herry berkata beliau dan pemain tersebut akan berjumpa doktor dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat.

Terdahulu, Wei Chong-Kai Wun terpaksa menarik diri daripada menyertai Malaysia Masters minggu lepas susulan kecederaan lutut dialami Wei Chong belum pulih sepenuhnya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2561198