KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Program Arca Pualam anjuran Balai Seni Negara Cawangan Ipoh yang berlangsung enam hari bermula 18 hingga 23 Mei lepas merupakan inisiatif dalam mengangkat keunikan material geologi tempatan melalui pendekatan seni sezaman.
Balai Seni Negara menerusi kenyataan hari ini memaklumkan program berkenaan yang berlangsung di Ipoh, Perak, memberi fokus kepada penghasilan karya arca berasaskan batu kapur, iaitu khazanah alam yang sinonim dengan negeri itu.
Program itu menghimpunkan tujuh seniman tempatan yang merupakan anak watan Perak daripada pelbagai pendekatan seni berbeza, antaranya Dr Ramlan Abdullah (Taiping), Dr Choong Kam Kow dan Tan Vooi Yam (Bercham), Daud Abdul Rahim (Lenggong) serta Raja Shahriman Raja Aziddin, Ibrahim Mohd Don dan Hilal Mazlan yang masing-masing dari Kuala Kangsar.
Sepanjang program berlangsung, sebanyak tujuh arca berjaya dihasilkan, sekali gus memperlihatkan kepelbagaian idea, pendekatan artistik serta interpretasi kreatif para seniman terhadap material semula jadi yang menjadi identiti Perak.
“Setiap karya yang dihasilkan bukan sahaja menampilkan nilai estetika yang tinggi malah mengangkat naratif berkaitan alam, budaya, sejarah serta hubungan manusia dengan persekitaran.
“Selain membuka dimensi baharu dalam interaksi estetik terhadap sumber alam semula jadi, program ini turut berpotensi memperkukuh sektor pelancongan seni dan budaya serta memperkenalkan identiti seni tempatan yang unik kepada masyarakat dan pelancong, khususnya di Perak,” menurut kenyataan itu.
Balai Seni Negara merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua pihak yang memberikan komitmen, khususnya para seniman yang berjaya menampilkan karya berkualiti dan penuh nilai kreativiti dalam memperkasa medium arca pualam sebagai manifestasi seni visual kontemporari negara.
Kenyataan itu turut memaklumkan karya yang dihasilkan dijangka menjadi antara tarikan utama apabila Balai Seni Negara Cawangan Ipoh dibuka kepada orang ramai tidak lama lagi, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat dan pencinta seni untuk mendekati keunikan seni arca tempatan.
“Inisiatif seperti ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada perkembangan seni arca tempatan, di samping memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab seni visual yang progresif dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai boleh melayari www.artgallery.gov.my atau ikuti saluran media sosial rasmi Balai Seni Negara dan Balai Seni Negara Cawangan Ipoh untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA