KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Saudi Arabian Oil Company (Aramco) hari ini mengumumkan pemeteraian perjanjian bagi pemindahan pegangan ekuiti Aramco yang dipegang menerusi Aramco Overseas Company B.V dalam Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd (secara kolektif PRefChem) di Kompleks Bersepadu Pengerang, Johor, kepada Petronas.
Tertakluk kepada keperluan memenuhi syarat-syarat lazim pemuktamadannya, PRefChem akan menjadi milik penuh serta dikendalikan oleh syarikat di bawah kumpulan Petronas.
“Pemilikan sepenuhnya ke atas PRefChem akan membolehkan Petronas terus meningkatkan aspek penjajaran operasi dan fleksibiliti yang merentasi rantaian nilai selain dapat memanfaatkan rangkaian bekalan antarabangsa serta integrasi model operasi bersepadu bagi menyokong kebolehpercayaan berterusan membabitkan pelbagai keadaan pasaran,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Bagi Aramco, transaksi itu menyokong langkah pengoptimuman strategik portfolio hilirannya dan membolehkan syarikat petroleum Arab Saudi itu meraih fleksibiliti tambahan untuk meneruskan pelaburan yang seiringan dengan strategi hilirannya.
“Transaksi itu telah dimuktamadkan mengikut terma yang dipersetujui bersama dan memaparkan keutamaan strategik kedua-dua pihak terbabit.
“Petronas dan Aramco akan terus aktif meneroka pengaturan komersial susulan pemindahan kepentingan itu, termasuk penyelarasan bekalan minyak mentah, pertukaran teknologi dan pengedaran produk bersepadu berasaskan kerjasama dua pihak yang terjalin sejak beberapa dekad lepas,” menurutnya.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua syarikat juga kekal fokus dalam menyampaikan kecemerlangan operasi dan mengekalkan nilai untuk kalangan pihak berkepentingan serta komuniti yang mendapat perkhidmatan syarikat berkenaan.
-- BERNAMA