JENAYAH & MAHKAMAH

Lapan Ditahan Dalam Serbuan Dadah Di Hotel Ibu Negara

24/05/2026 06:26 PM

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Polis menahan lapan individu pelbagai warganegara dipercayai terlibat dalam penyalahgunaan dadah menerusi serbuan di sebuah hotel terkenal di Jalan Stesen Sentral di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata serbuan itu dijalankan susulan kematian seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun yang dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dari hotel berkenaan, semalam.

"Mayat lelaki itu telah selesai dibedah siasat di Jabatan Forensik HKL pada 12 tengah hari tadi.

“Punca kematian setakat ini masih menunggu keputusan ujian makmal dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata susulan maklumat diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menyerbu bilik mangsa di hotel terbabit pada 4 pagi.

Hoo berkata serbuan itu membawa kepada penahanan lapan individu terdiri daripada dua lelaki tempatan, dua lelaki warga Singapura serta masing-masing seorang warga Hong Kong, Vietnam, Indonesia dan China.

“Hasil pemeriksaan turut menemukan satu peket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ketamin seberat 1.5 gram serta tiga biji pil disyaki ekstasi seberat 0.7 gram,” katanya.

Kesemua suspek, katanya, direman selama tiga hari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2561016