AM

GSF 2.0: 28 Aktivis Malaysia Selamat Tiba Di KLIA

25/05/2026 01:32 AM

SEPANG, 24 Mei (Bernama) -- Seramai 28 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 ke Gaza selamat tiba di tanah air malam ini.

Kesemua mereka bersama Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye pada 11.25 malam Sabtu sebelum transit di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Mereka kemudian meneruskan perjalanan pulang ke negara ini dengan penerbangan Emirates EK342 yang mendarat di KLIA Terminal 1 pada 9.30 malam.

Ketibaan kumpulan itu disambut Menteri Besar Selangor yang juga Menteri Penaung Misi Global Sumud Flotila, Datuk Seri Amirudin Shari serta lebih 100 ahli keluarga aktivis dan pendukung Palestin.

Suasana di balai ketibaan dipenuhi laungan “Free Palestine” dan “Allahuakbar” sambil para penyokong mengibarkan bendera Palestin bagi menyambut kepulangan mereka.

Tangisan kegembiraan, air mata kesyukuran dan pelukan erat antara ahli keluarga serta rakan seperjuangan turut mengiringi detik pertemuan berkenaan.

Antara sukarelawan yang menyertai misi itu ialah Norazman Ishak, Muhammad Hareez Adzrami, Nor Liyana Farhan Daud, Zainal Rashid Ahmad, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Hazwan Hazim Dermawan, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Hanafi Mohd Salim dan Mohd Shamsir Mohd Isa.

Turut serta Mohd Redzal Amzah, Muhammad Zaid Abdul Karim, Al-Ahmad Shah Abdul Kadir, Mohammad Farizzal Rostam, Chin Shiau Weai, Abdul Samad Selamat, Mohammad Shazly Mohammad Shees, Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari, Syed Aminul Syafiq Syed Iskandar dan Osman Zulkifli.

Peserta lain ialah Jihan Alya Mohd Nordin, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar, S. Patmanathan, Syakirin Muhamad Senin, Muhammad Muhsin Zaidi, Abdul Rahim Abdul Razak, Eddy Noor Mat Amin, Noor Thanisah Mohamad Tajudin dan Naufa Azhar.

Sementara itu, seorang lagi aktivis Razman Mat Ali masih berada di Istanbul bagi menerima rawatan selepas mengalami ‘Traumatic Pneumothorax’ atau paru-paru bocor akibat ditumbuk tentera Israel.

Sebelum ini, SNCC mengesahkan kesemua 50 kapal misi GSF 2.0 yang membawa 430 aktivis kemanusiaan termasuk 29 rakyat Malaysia telah diculik Israel.

Kapal yang membawa sukarelawan misi kemanusiaan GSF 2.0 itu dipintas tentera Israel berhampiran perairan Cyprus pada 18 Mei. 

Sementara itu, Sani Arabi dalam sidang media memaklumkan Razman telah selamat menjalani pembedahan dan kini berada dalam keadaan stabil.

Beliau berkata Razman dijangka dibenarkan pulang dan berlepas ke Malaysia dalam tempoh 21 hari.

Menurutnya pihak Sumud telah melawat Razman, manakala dua wakil perundangan daripada Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) turut mengambil rakaman serta keterangan daripadanya untuk dijadikan bahan bukti bagi tindakan undang-undang antarabangsa terhadap Israel.

“Pihak kerajaan Turkiye telah memaklumkan mereka akan menjaga beliau. Kita juga mempunyai wakil daripada Sumud Nusantara yang menemani beliau. Saya kira apa yang dihadapi Razman ini bukan kes terpencil,” katanya.

Dalam pada itu, Sani Arabi menegaskan kecederaan yang dialami Razman bukan kes terpencil kerana semua anggota delegasi turut berdepan layanan kasar dan penderaan fizikal sepanjang tempoh penahanan.

Mengenai GSF 2.0, Sani Arabi menyifatkan misi itu yang merekodkan 960 jam atau 40 hari pelayaran merentasi Laut Mediterranean kini tercatat dalam sejarah kemanusiaan sebagai usaha kolektif dunia yang mempunyai objektif jelas untuk memecahkan kepungan serta menghantar bantuan kecemasan ke Gaza.

“Misi ini bukan sahaja diiktiraf, bahkan berjaya mencetuskan kemarahan global apabila rejim penjajah bertindak seperti lanun dan penyamun di zon antarabangsa.

“SNCC mengesahkan bahawa GSF 2.0 telah mencipta gelombang solidariti antarabangsa yang luar biasa dalam sejarah perjuangan kemanusiaan moden apabila menghimpunkan aktivis, ahli parlimen, pengamal media, doktor, peguam serta 422 aktivis dari 40 negara bagi menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin dan menentang sekatan yang dianggap zalim ke atas Gaza,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin dalam ucapannya berkata kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri komited untuk membawa penganjuran konferens dan persidangan antarabangsa mengenai Palestin ke Malaysia pada masa akan datang.

“Kita mahu setiap segi dan sendi perjuangan ini dapat dikembangkan, diperkasakan, dan membawa kepada pembebasan Gaza yang telah diimpikan sekian lama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2561108