AM

AADK Laksana Program Pencegahan Dadah Di Pulau Banggi

25/05/2026 10:55 AM

KUDAT, 24 Mei (Bernama) -- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) hari ini melaksanakan program pencegahan dadah di Pulau Banggi menerusi pendekatan “turun padang” yang agresif, bagi memperkasakan komuniti pada peringkat akar umbi.

Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh dalam kenyataan hari ini berkata program menerusi kempen Jerayawara SKUAD Antidadah Dua Roda bersempena Program Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) 2026 itu, bertujuan memperhebat sinergi perlindungan bersama institusi masyarakat kampung.

“Kita terus menjalankan satu pendekatan turun padang terus kepada komuniti, keluarga, dan masyarakat kampung. Ini kerana kempen pencegahan dadah bukan lagi berpusat pada peringkat atasan, tetapi ia perlu benar-benar turun ke bawah,” katanya.

Beliau berkata anjakan paradigma itu, memastikan agenda pencegahan dadah negara bergerak secara organik, sekali gus mampu membuka mata masyarakat agar lebih sedar terhadap bahaya ancaman tersebut.

“Apabila program turun padang sedemikian kerap diadakan, ia secara tidak langsung akan mendorong penduduk setempat untuk sentiasa mengamalkan aktiviti dan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya.

Ruslin berkata melalui program JABD, inisiatif berkenaan tidak direkayasa berasaskan kepada satu negeri sahaja, malah pelaksanaannya disasarkan secara menyeluruh ke seluruh negara.

Terdahulu, majlis perasmian program tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi Datuk Mohammad Mohamarin dan turut dihadiri Pengarah AADK Sabah Elmariah Chung.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2561066