KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) -- Polis menahan tiga individu termasuk dua wanita yang mempunyai pelbagai rekod jenayah, selepas cuba merempuh anggota polis ketika melarikan diri daripada ditahan di Jalan Batu 15 1/4, Dusun Tua, Hulu Langat dekat sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata dalam kejadian itu, anggota polis terlibat terpaksa melepaskan tembakan kerana terancam dengan tindakan suspek.
Beliau berkata ketika kejadian kira-kira 9.30 malam semalam, sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin, cuba melakukan tangkapan ke atas suspek berhubung kes yang disiasat di IPD Tampin.
Bagaimanapun, Naazron berkata polis berjaya menahan kesemua suspek yang menaiki sebuah kenderaan menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah dan tiga rekod narkotik, suspek kedua mempunyai empat rekod jenayah dan 11 rekod narkotik, serta suspek ketiga mempunyai enam rekod jenayah dan dua rekod narkotik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana cubaan membunuh dan menghalang penjawat awam.
Sementara itu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun ditahan selepas mencederakan seorang penyelia pengawal keselamatan menggunakan sebilah pisau, di hadapan sebuah pasar raya mini di Razak City Residensi, Cheras, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohd Rosdi Daud dalam kenyataan berasingan berkata kejadian sekitar 9 pagi itu dipercayai berpunca apabila mangsa, berusia 49 tahun menegur suspek yang sedang mabuk kerana membuang tin arak sesuka hati di kawasan berkenaan.
​Beliau berkata suspek yang tidak berpuas hati dengan teguran itu kemudian bertindak agresif dengan melibas sebilah pisau, sehingga menyebabkan mangsa luka di bahagian perut sebelah kiri.
“Sepasukan polis daripada Balai Polis Salak Selatan berjaya menahan suspek di lokasi kejadian pada 10.45 pagi hari sama dan turut merampas sebilah pisau,” katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA