AM

INSKEN Labur RM5 Juta Perkukuh Ekosistem Perusahaan Sosial Negara - Sim

22/05/2026 04:18 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Institut Keusahawanan Negara Bhd (INSKEN) melaburkan RM5 juta sejak 2022 bagi memperkasakan perusahaan sosial negara melalui pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti, akses pasaran dan penarafan perusahaan sosial. 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata pelaburan itu selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk memperkukuh sektor tersebut sebagai antara pemacu ekonomi inklusif negara.

Beliau berkata perusahaan sosial menjadi semakin penting dalam dunia yang kini berhadapan ketidaktentuan geopolitik, krisis bekalan global dan perubahan sosial.

Ini kerana, Sim berkata model itu bukan sekadar mengejar keuntungan tetapi turut menyasarkan penyelesaian kepada masalah masyarakat dan alam sekitar melalui pendekatan perniagaan yang kreatif serta mampan. 

“Sebagai contoh, masyarakat yang semakin menua pada masa depan akan memerlukan lebih banyak perkhidmatan penjagaan komuniti dan sokongan sosial yang juga boleh diterajui melalui model perusahaan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sim berkata antara inisiatif dilaksanakan INSKEN ialah sesi libat urus bersama-sama pemain industri, klinik penarafan perusahaan sosial, persidangan antarabangsa serta program pengukuhan jaringan dan akses pasaran pada peringkat tempatan dan antarabangsa.

Sehingga kini, sebanyak 3,875 peserta telah mendapat manfaat daripada pelbagai program dan inisiatif yang dilaksanakan INSKEN. 

Beliau berkata dalam tempoh dua suku tahun kebelakangan ini, INSKEN turut memperuntukkan RM200,000 bagi membantu 20 entiti perusahaan sosial memperluas pasaran dan impak kepada komuniti melalui peluang pembelian produk dan perkhidmatan, subsidi operasi, penyertaan acara serta padanan perniagaan strategik.

Selain itu, Sim turut menggalakkan lebih banyak perusahaan sosial mendapatkan penarafan perusahaan sosial melalui INSKEN bagi meningkatkan kredibiliti serta akses kepada pembiayaan, pengecualian cukai, peluang penyertaan program dan pameran serta pelbagai bentuk sokongan kerajaan. 

Berdasarkan dokumen  Rangka Tindakan Keusahawanan Sosial 2030 (SEMy2030) serta kajian The State of Social Enterprise in Malaysia oleh British Council, dianggarkan terdapat lebih 20,000 perusahaan sosial di Malaysia setakat 2018.

Setakat ini, sebanyak 600 entiti perniagaan telah mendapat penarafan perusahaan sosial melalui INSKEN, terdiri daripada Tunas Perusahaan Sosial (Aspiring, 281 entiti), Perusahaan Sosial Asas (SE.Basic, 252 entiti) dan Perusahaan Sosial Diakreditasi (SE.Accredited, 67 entiti). 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni berkata agensi itu sedang beralih ke arah pendekatan mengarusperdanakan perolehan sosial agar menjadi amalan yang setara dengan perniagaan konvensional, sekali gus membantu perusahaan sosial lebih kompetitif, mampan dan bersedia berkembang ke peringkat lebih luas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560313