AM

Hari Arafah Bukan Sekadar Kesatuan Ummah, Tuntut Angkat Nilai Dan Kualiti Diri Depani Cabaran - PM

22/05/2026 06:07 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Hari Arafah bukan sekadar gambaran kepada kesatuan umat Islam malah ia menuntut ummah mengangkat nilai dan kualiti diri dalam mendepani tantangan zaman.

Beliau berkata mesej mendalam itu didengari menerusi khutbah bertajuk "Arafah Hari Kebangkitan" ketika menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muttaqin, Wangsa Melawati di sini hari ini.

“Khutbah hari ini bertajuk ‘Arafah Hari Kebangkitan’ menyentuh keistimewaan Hari Arafah pada 9 Zulhijah yang akan tiba kelak.

“Perhimpunan besar yang akan berlangsung ini bukan sekadar gambaran kesatuan umat Islam namun lebih dari itu, kita juga perlu mengangkat nilai dan kualiti umat untuk berhadapan dengan tantangan zaman,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Anwar turut mendoakan agar semua para petugas dan jemaah terus diberikan kesihatan yang baik selain menyeru mereka memberi tumpuan penuh kepada ibadah haji dan memperoleh haji yang diterima Allah SWT.

Kerajaan Arab Saudi mengisytiharkan Hari Arafah jatuh pada Selasa diikuti sambutan Aidiladha pada Rabu.

Seramai 31,600 jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji bagi musim 1447H/2026M tahun ini.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560366