KOTA BHARU, 19 Mei (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita 42 kenderaan mewah menerusi Ops Luxury 2.0 yang dilaksanakan di seluruh negeri sejak 1 Januari lepas atas pelbagai kesalahan termasuk cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.
Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata operasi khas itu bertujuan memastikan pemilik kenderaan import dan mewah mematuhi undang-undang jalan raya serta mengelakkan ketirisan hasil kerajaan.
Beliau berkata antara kesalahan utama yang dikesan ialah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh membabitkan 35 kes, tiada perlindungan insurans (31 kes), penggunaan nombor pendaftaran perdagangan palsu dan pertukaran enjin tanpa kebenaran.
“Operasi di seluruh Kelantan mendapati masih ramai pemilik kenderaan mewah gagal membaharui LKM atau cukai jalan walaupun menggunakan kenderaan bernilai tinggi di jalan raya.
“Ada pemilik hanya memperbaharu insurans tetapi tidak menyambung cukai jalan. Lebih mengejutkan, terdapat kenderaan yang masih digunakan walaupun cukai jalan dan insurans tamat tempoh sejak 2020,” katanya pada sidang media Ops Kenderaan Mewah (Luxury) dan Ops Hari Raya Aidiladha (HRA) 2026 di sini hari ini.
“Semua kenderaan terbabit disita untuk siasatan lanjut selain mengelakkan kesalahan berulang. Antara model yang dikenakan tindakan ialah Porsche 911 GT3, Porsche Panamera V6, Jeep Wrangler, Toyota Alphard, Toyota Vellfire, BMW 528i Limousine, Audi TTS dan Mercedes-Benz,", katanya.
Mohd Misuari berkata hasil operasi itu turut mendedahkan ketirisan hasil kerajaan dianggarkan RM34,547.80 setahun membabitkan bayaran cukai jalan bagi semua kenderaan yang disita.
“Kadar cukai jalan tertinggi direkodkan sebanyak RM6,612 setahun, manakala paling rendah RM70 setahun. Walaupun memiliki kenderaan mewah, pematuhan terhadap undang-undang tetap wajib. JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik kenderaan yang gagal mematuhi peraturan jalan raya," katanya.
Beliau berkata status atau pemilikan kenderaan mewah bukan perisai untuk terlepas daripada tindakan penguatkuasaan.
Sementara itu, Mohd Misuari berkata JPJ akan meningkatkan pemantauan bersempena dengan Ops Khas HRA yang berlangsung dari 24 hingga 31 Mei ini bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik sepanjang musim perayaan.
"Operasi ini memberikan tumpuan kepada sembilan kesalahan utama termasuk memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong di garisan berkembar dan memandu di lorong kecemasan.
“Sebanyak 187 anggota penguat kuasa bersama 33 kenderaan operasi akan digerakkan membabitkan 50 pasukan operasi di seluruh negeri termasuk di cawangan dan stesen penguat kuasa JPJ Kelantan,” katanya.
Beliau berkata pemeriksaan turut dijalankan di Terminal Bas Lembah Sireh, Kota Bharu melibatkan semakan saman tertunggak, lesen memandu, buku log pemandu dan pemeriksaan teknikal bas.
Selain itu, katanya, JPJ menggunakan teknologi seperti Unit Falcon bermotosikal dan dron untuk memantau aliran trafik serta mengesan kesalahan jalan raya.
-- BERNAMA