Oleh V. Sankara
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Dirakam sepenuhnya menggunakan telefon pintar dengan kos produksi hanya kira-kira RM200, pembikin filem Karthik Shaamalan menghasilkan sebuah drama mini bersiri Tamil yang bertujuan memberi inspirasi kepada pengkarya baharu meneroka penceritaan digital tanpa bergantung pada peralatan mahal.
Siri bertajuk “3SM 3 Sollu Mattumtha” dengan sembilan episod itu dihasilkan Karthik menerusi kerjasama UNITAR International University, dan dirakam sepenuhnya menggunakan iPhone 15 Pro serta mikrofon tanpa wayar bernilai RM50 serta set penapis ND berharga RM99 untuk penggambaran luar.
Dalam temu bual dengan Bernama, beliau berkata daripada bergantung pada peralatan mahal untuk menghasilkan karya berkualiti, pasukan produksi sebaliknya memberi tumpuan kepada penulisan yang kukuh, perancangan rapi, semangat berpasukan serta kreativiti.
“Saya tidak maksudkan yang anda tidak perlu guna peralatan hebat atau canggih. Sebaliknya, yang saya cuba sampaikan ialah jangan tunggu sehingga anda memiliki semua itu untuk merealisasikan impian anda.
“Projek ini khusus buat mereka yang baru hendak berjinak-jinak dalam dunia penerbitan dan sedang mencari tapak untuk bermula,” katanya yang ditemui selepas pelancaran projek itu oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara Yuneswaran Ramaraj di kampus UNITAR, Petaling Jaya dekat sini.
pic-2
Projek itu juga bertujuan menggalakkan komuniti pencipta kandungan India untuk memelihara identiti budaya menerusi penceritaan autentik melalui inovasi digital.
Drama yang disiarkan melalui platform SCIFILM dan saluran YouTube UNITAR itu turut mencerminkan perkembangan ekonomi pencipta kandungan, dengan platform digital seperti YouTube kini semakin berdaya maju sebagai ruang untuk penceritaan bersiri dan keusahawanan kandungan.
Dilakonkan oleh Loga Varman, Dharshamini Kesavan, Thia Lakshana, Suriyan Magissan, Ruvela, Subatra, Tharane dan Ratna Gowri dengan gubahan muzik oleh Hari Mahendran, episod baharu disiarkan setiap Isnin dan Khamis pada 6 petang.
-- BERNAMA