EKONOMI

KPJ Healthcare Catat Untung Bersih RM69.6 Juta Bagi Suku Pertama

22/05/2026 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Keuntungan bersih KPJ Healthcare Bhd meningkat kepada RM69.6 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2026 daripada RM57.1 juta yang dicatatkan pada suku sama tahun kewangan 2025.

Perolehan pula menokok sembilan peratus kepada RM1.05 billon daripada RM967 juta bagi tempoh yang sama.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, KPJ menjelaskan prestasi lebih baik itu didorong terutama oleh bilangan kunjungan pesakit dan pembedahan dijalankan adalah lebih tinggi bagi sepanjang tempoh kewangan tersebut.

KPJ memaklumkan bagi prospek masa depan, pihaknya menjangkakan persekitaran luaran kekal tidak menentu susulan ketegangan geopolitik yang berterusan.

“Walaupun tiada kesan langsung yang ketara terhadap kumpulan setakat ini namun, kami akan terus memantau rapat perkembangan semasa dan mengambil langkah mitigasi sekiranya perlu,” tambahnya.

Menurut KPJ keputusan Kementerian Kesihatan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Kumpulan Berkaitan Diagnosis (DRG) ke tahun 2027 turut memberikan kejelasan tambahan bagi memastikan peralihan yang lebih lancar dan mampan.

Ini selaras dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Bank Negara Malaysia antara empat hingga lima peratus tahun ini, yang disokong terutama oleh permintaan domestik dan eksport yang berterusan.

Sementara itu, KPJ turut meluluskan dividen interim satu peringkat sebanyak satu sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2026, melibatkan jumlah pembayaran sebanyak RM44.3 juta.

Dividen yang dicadangkan itu akan dibayar pada 17 Julai, 2026 kepada pemegang saham yang berdaftar setakat sesi akhir dagangan pada 23 Jun, 2026.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560098