EKONOMI

Favelle Favco Raih Kontrak Bekal Kren Menara Bernilai RM90.6 Juta

22/05/2026 07:13 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Favelle Favco Bhd, melalui anak syarikatnya, Favelle Favco Cranes Pty Ltd, meraih kontrak baharu membekalkan kren menara di Australia bernilai kira-kira RM90.6 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Favelle Favco menyatakan kontrak berkenaan diperoleh daripada Contracting Pty Ltd dan G A Caelli Holdings Trust.

Menurut syarikat itu, penghantaran kren menara mengikut kontrak tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula dari akhir 2026 sehingga suku kedua 2027.

"Kontrak pembekalan ini dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih Favelle Favco bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2026 dan tahun-tahun seterusnya," tambahnya.

-- BERNAMA  

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560410