EKONOMI

Unit Ann Joo Terima Pembeli Potensi Baharu Selepas Perjanjian Dengan Southern Steel Gagal

22/05/2026 11:16 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Ann Joo Resources Bhd (Ann Joo) bercadang untuk menjual 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Ann Joo Steel Bhd (AJSB) kepada syarikat berpangkalan di Singapura, Green Esteel Pte Ltd.

Langkah itu diambil susulan penamatan bersama perjanjian induk untuk menjual pegangan berkenaan kepada Southern Steel Bhd hari ini.

Pengeluar keluli dan produk berkaitan keluli itu memaklumkan cadangan penjualan tersebut bagaimanapun tidak termasuk penjualan empat bidang tanah di Perak dan Pulau Pinang bersama-sama semua bangunan dan struktur yang dimiliki oleh AJSB.

Walaupun pertimbangan tunai yang akan dibayar oleh Green Esteel akan ditentukan kemudian susulan audit bebas, Ann Joo menyatakan lembaga pengarahnya menganggap RM348.73 juta sebagai pertimbangan penjualan yang munasabah berdasarkan prestasi kewangan AJSB dan nisbah harga kepada nilai buku yang tersirat sebanyak 1.89 kali.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia menyatakan cadangan penjualan itu adalah selaras dengan strategi kumpulan Ann Joo untuk keluar daripada perniagaan keluli huluan.

AJSB yang mengeluarkan bilet dan besi tetulang mencatatkan kerugian sejak tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2023.

Menurut Ann Joo, cadangan urus niaga itu akan membendung kerugian berpotensi yang lebih besar oleh AJSB dan anak syarikat milik penuhnya, Ann Joo Integrated Steel Sdn Bhd serta membolehkan kumpulan Ann Joo memberi tumpuan semula sumbernya untuk mengembangkan perniagaan keluli hiliran.

“(Perniagaan hiliran) termasuk aktiviti berkaitan keluli seperti kerja fabrikasi keluli, perkhidmatan kejuruteraan untuk sektor automotif dan elektrik serta kerja kejuruteraan, reka bentuk selain pembinaan untuk industri elektrifikasi,” tambahnya.

Berdasarkan unjuran perolehan kasar sebanyak RM348.73 juta, Ann Joo menyatakan ia merancang untuk menggunakan RM230 juta bagi pembayaran balik pinjaman bank dan RM118.22 juta untuk modal kerja serta kedua-duanya akan dilakukan dalam tempoh 12 bulan selepas penjualan saham tersebut.

Baki RM500,000 akan digunakan untuk menampung perbelanjaan berkaitan cadangan penjualan berkenaan.

Tertakluk kepada perolehan kelulusan daripada pemegang saham syarikat, cadangan penjualan itu dijangka selesai menjelang separuh kedua 2026, jelas Ann Joo.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560490