KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu wanita negara Rosman Razak mengakui kualiti permainan beregu wanita negara masih jauh jika dibandingkan dengan lawan mereka, terutama kepada dua sandaran Ong Xin Yee-Carmen Ting dan Low Zi Yu-Noraqilah Maisarah Ramdan.
Beliau berkata walapun Xin Yee-Carmen pasangan pertama negara, mereka belum berada pada tahap terbaik dan masih melalui proses pembelajaran termasuk dalam mengendalikan tekanan.
“Proses itu ada naik dan turun tetapi bukan bermaksud pemain harus terus menerima kekalahan. Setiap hari mereka hadapi masalah berbeza dan itu sangat penting untuk proses kemajuan mereka di usia muda dan tempuh capai tahap berikutnya,” katanya kepada pemberita selepas pusingan pertama Malaysia Masters 2026 di Axiata Arena di sini hari ini.
Xin Yee-Carmen yang juga pilihan ketujuh tewas kepada Hsieh Yi En-Teng Chun Hsun dari Taiwan 15-21, 20-22.
Bagi pasangan kedua negara Zi Yu-Noraqilah, Rosman berkata lawan mereka Bao Li Jing-Cao Zi Han dari China lebih dominan apabila menguasai permainan dengan 21-18, 21-12.
“Mereka cuba bermain dengan tahap yang ada tetapi saya rasa kita perlu tingkatkan intensiti dan tahap kemahiran mereka kerana belum capai tahap tinggi lagi,” katanya.
Dua lagi pasangan negara iaitu Cheng Su Hui-Tan Zhing Hui dan Chong Jie Yu-Vanessa Ng turut ditunjuk jalan keluar oleh lawan masing-masing pada pusingan awal kejohanan bertaraf Super 500 itu.
Su Hui-Zhing Hui tewas kepada pilihan keempat dari Jepun Arisa Igarashi-Chiharu Shida 8-21, 12-21 manakala Jie Yu-Vanessa pula akur kepada gandingan Taiwan Chen Yan Fei-Sun Liang Ching, 16-21, 17-21.
Kem Malaysia sebelum ini menerima tamparan hebat apabila beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah menarik diri daripada Malaysia Masters 2026 yang bermula semalam hingga Ahad ini, susulan masalah kecederaan dialami Pearly.
-- BERNAMA