KUCHING, 22 Mei (Bernama) -- Susulan pelaksanaan dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) yang berkuat kuasa mulai 1 Jun ini, pengguna platform media sosial perlu memuat naik dokumen rasmi yang dikeluarkan kerajaan bagi membuat pengesahan umur.
Dua kod yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu ialah Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) serta Kod Pengurangan Risiko (RMC).
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata antara dokumen yang boleh digunakan pengguna termasuk kad pengenalan dan pasport bagi menyekat pengguna bawah umur 16 tahun membuka akaun media sosial.
“Sekarang kita telah meminta platform melaksanakan age verification (pengesahan umur). Pengguna perlu mengesahkan umur menggunakan dokumen dikeluarkan kerajaan seperti kad pengenalan, pasport atau dokumen rasmi lain.
“Kalau sekadar self-declare (isytihar sendiri), sesiapa sahaja boleh klik dan mengaku mereka berumur lebih 18 tahun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat, di sini, hari ini.
Teo bagaimanapun berkata MCMC tidak menetapkan teknologi khusus yang perlu digunakan platform media sosial bagi tujuan pengesahan umur dan kerajaan akan memberikan tempoh yang sewajarnya untuk melaksanakan proses tersebut sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.
“Untuk akaun sedia ada dan belum buat pengesahan umur, MCMC masih berbincang tempoh masa munasabah selepas berbincang dengan platform media sosial yang terlibat antaranya TikTok, Facebook dan Instagram.
“Sesiapa yang tidak membuat pengesahan berkemungkinan akaun (akan) ditutup atau platform media sosial perlu menggunakan kecerdasan buatan untuk pastikan pengguna berumur 16 tahun ke atas,” katanya.
Kerajaan sebelum ini telah memutuskan bahawa kanak-kanak di bawah usia 16 tahun tidak dibenarkan membuka atau memiliki akaun media sosial bagi platform yang mempunyai lebih lapan juta pengguna di Malaysia.
Teo berkata dua kod berkenaan diterbitkan selepas sesi libat urus bersama pemain industri, pertubuhan masyarakat sivil dan pihak berkepentingan yang dijalankan sejak awal tahun ini.
Terdahulu, dalam ucapannya, Teo berkata bagi tempoh Januari hingga April tahun ini sahaja, sebanyak 23,367 kes penipuan dalam talian dilaporkan dengan kerugian berjumlah RM680.3 juta.
Beliau berkata sejak Kempen Internet Selamat dilancarkan pada Januari 2025 hingga 30 April lepas, lebih 11,000 program telah dilaksanakan di seluruh negara melibatkan lebih 1.8 juta peserta terdiri daripada pelajar sekolah, belia, ibu bapa, pendidik, warga emas dan komuniti setempat.
-- BERNAMA