AM

Statistik Projek Perumahan Swasta Lewat, Sakit Catat Trend Penurunan - KPKT

22/05/2026 07:32 PM

PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Statistik projek perumahan swasta bagi kategori lewat dan sakit di Semenanjung Malaysia menunjukkan trend penurunan setakat 30 April tahun ini berbanding Mac, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu.

Beliau berkata sebanyak 130 projek berstatus lewat dan 302 projek berstatus sakit direkodkan manakala hanya satu projek baharu berstatus terbengkalai dicatatkan, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 100 projek. 

"Perkembangan positif ini membuktikan bahawa pendekatan proaktif dan bersepadu yang diambil mula membuahkan hasil yang lebih teratur dan berfokus," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) Bilangan 3 Tahun 2026, hari ini.

Aiman Athirah berkata sejak ditubuhkan pada 2023, TFST berjaya memulihkan sebanyak 1,576 projek perumahan swasta melibatkan 185,525 unit rumah, dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM148.21 bilion. 

Daripada jumlah tersebut, 131 projek berjaya dipulihkan daripada status sakit kepada lancar, 1,410 projek sakit telah disiapkan sepenuhnya sehingga memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dan 35 projek terbengkalai telah berjaya dipulihkan, sama ada melalui penyiapan fizikal projek mahupun menerusi pelan penyelesaian pembeli.

Beliau berkata Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang mengabaikan hak pembeli. 

"Fokus kita bukan sekadar memulihkan struktur fizikal, tetapi mengembalikan impian dan kebajikan rakyat yang telah lama terjejas akibat isu projek sakit ini," katanya.

Demi mengekalkan momentum positif itu, katanya, KPKT juga bertekad untuk melandaikan statistik pemajuan bermasalah secara berfasa, sekali gus merealisasikan sasaran sifar projek terbengkalai menjelang tahun 2030. 

Kerangka pemantauan juga akan terus diperkasakan seiring dengan intervensi awal yang bersasar demi menjamin mutlak dan melindungi hak pembeli rumah di Malaysia

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2560411