EKONOMI

Untung Bersih Malayan Flour Mills Naik 28.4 Peratus Kepada RM42.5 Juta Pada Suku Pertama

19/05/2026 10:25 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Malayan Flour Mills Bhd mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 28.4 peratus pada suku pertama berakhir 31 Mac 2026, dengan pendapatan naik kepada RM42.5 juta daripada RM33.1 juta pada suku tahun sama tahun lepas.

Pertumbuhan itu disokong oleh prestasi operasi yang lebih baik dalam kedua-dua segmen teras syarikat, menurut pengeluar makanan ruji itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Perolehan menurun kepada RM741.4 juta daripada RM799.3 juta pada suku pertama 2025, terutamanya disebabkan harga jualan yang lebih rendah, sebahagiannya diimbangi oleh jumlah jualan yang lebih tinggi daripada segmen perdagangan tepung dan bijirin.

Bagi tempoh tiga bulan berakhir 31 Mac 2026, Malayan Flour Mills mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM42.5 juta, meningkat daripada RM33.1 juta pada tahun sebelumnya manakala perolehan menurun kepada RM741.4 juta daripada RM799.3 juta.

Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Teh Wee Chye berkata kumpulan itu positif dengan permulaan kukuh tahun kewangan berakhir 31 Dis 2026, dengan perniagaan tepung dan berkaitan ayam terus mencatatkan prestasi yang baik.

“Segmen berkaitan ayam terutamanya, terus mendapat momentum positif pada suku tahun tersebut, mencerminkan keberkesanan strategi operasi dan pemasaran kami untuk menyasarkan pasaran yang belum diterokai sebelum ini.

“Walaupun landskap komoditi global masih mencabar dan tidak dapat dijangka, menguruskan kitaran pasaran sedemikian sentiasa menjadi sebahagian daripada perniagaan kami,” katanya dalam kenyataan.

Teh berkata Malayan Flour Mills telah membina pengalaman operasi dan disiplin perolehan yang diperlukan untuk mengatasi ketidaktentuan dan mengekalkan daya tahan perniagaan.

Melangkah ke hadapan, katanya syarikat kekal fokus untuk memperkukuh perniagaan terasnya dalam peranannya sebagai pemain keterjaminan makanan serantau, meningkatkan kecekapan operasi dan menempatkan kumpulan untuk memanfaatkan peluang dalam pasaran.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559199