EKONOMI

Unit Kerjaya Prospek Dapat Kontrak RM174.2 Juta Membabitkan Projek Pangsapuri Servis

19/05/2026 08:08 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Kerjaya Prospek Group Bhd (KPGB), Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd telah dianugerahkan kontrak bernilai RM174.2 juta daripada RB Land Sdn Bhd.

Syarikat itu melalui satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata kontrak itu melibatkan pembinaan dan penyiapan sebuah pangsapuri servis 44 tingkat serta kerja-kerja luaran di Seremban.

Pembinaan tersebut merangkumi satu blok 778 unit pangsapuri servis, 15 unit runcit, dua pejabat persendirian, tempat letak kereta enam tingkat, satu kawasan kemudahan, satu stesen suis utama, satu rumah pengawal, satu kawasan simpanan sisa, satu struktur papan iklan tiang tunggal dan kemudahan lain.

“Kontrak itu akan bermula pada 1 Jun 2026, yang akan disiapkan dalam tempoh 35 bulan dari tarikh permulaan. Kontrak itu dijangka akan menyediakan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan dalam tempoh tiga tahun akan datang,” katanya.

Kontrak itu akan terus meningkatkan dan menambah tempahan dalam tangan sedia ada kumpulan, selain dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan termasuk aset bersih sesahamnya bagi tahun kewangan 2026 hingga 2029.

Menurut KPGB, tiada pengarah dan/atau pemegang saham utamanya, atau orang yang berkaitan dengan mereka, mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam kontrak berkenaan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://www.bernama.com/bm/news.php?id=2559129